
Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Iskandar Ismail, berkata ia akan dibawa ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terlebih dahulu sebelum dibentangkan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
“Kita sasar nak siapkan bulan ini, kami mula dari Januari. Kami dah jumpa dan wawancara 200 pihak melibatkan petani, peneroka, pengilang, pemborong, Padiberas Nasional Bhd (Bernas) KPKM, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan semua yang terlibat,” katanya kepada FMT, mengulas perkembangan kajian MyCC dalam perkara itu.
Iskandar bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada dapatan kajian setakat ini menemui unsur kartel dalam industri padi dan beras negara.

“Nanti dulu, tunggu kerana kami kini di peringkat akhir kajian, kami juga lihat kajian-kajian dulu dibuat pihak lain,” katanya.
Mac lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi atau melindungi individu atau pihak terlibat jika terbukti wujud kartel beras putih tempatan.
Mohamad berkata, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan terhadap isu tersebut seperti tindakan diambil terhadap syarikat yang dikatakan memonopoli penetapan harga makanan ayam sebelum ini.
Sebelum ini, Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, mendakwa terdapat kartel beras putih tempatan membabitkan empat hingga lima syarikat dalam negara.
Katanya, syarikat itu dipercayai mengawal jual beli padi dan makanan ruji tersebut sehingga berlaku kekurangan bekalan di pasaran serta peningkatan harga.
Menurutnya, maklumat itu diperoleh hasil libat urus dijalankan bersama pesawah, pengilang, pemborong, peruncit dan pengguna.
Sementara itu, Iskandar berkata kajian dilakukan pihaknya membabitkan keseluruhan rantaian bagi melihat permasalahan sebenar industri beras negara.
“Kami juga lihat cabaran dihadapi petani, rantaian bekalan, perundangan dan kita nak lihat isu produktiviti. Kami tengok menyeluruh, apa peranan kilang benih padi, pemborong bungkus beras, ia melibatkan banyak perkara,” katanya.