3 warga Malaysia ditahan di Filipina dibawa ke Manila esok

3 warga Malaysia ditahan di Filipina dibawa ke Manila esok

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata empat lagi masih ditahan pihak berkuasa negara itu untuk siasatan lanjut.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata mereka akan dibawa ke Manila untuk proses dokumentasi, sebelum pengusiran dilakukan pihak berkuasa Filipina. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Seramai 11 individu termasuk tiga warga Malaysia yang ditahan selepas disyaki memasuki perairan Filipina secara haram pada Ahad lalu, akan diterbangkan ke Manila esok.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata mereka dihantar ke Manila untuk proses dokumentasi, sebelum pengusiran dilakukan pihak berkuasa Filipina.

“Selebihnya empat lagi warga Malaysia masih ditahan di selatan Filipina untuk proses siasatan pemilikan bot.

“Kes memasuki perairan Filipina itu melibatkan bot, jadi kerajaan di sana menahan bot berkenaan dan akan mengetahui siapa pemilik bot berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas Konvensyen Memerangi Jenayah Pemerdagangan Orang dan Buruh Paksa 2024.

Pada Ahad, pihak berkuasa Filipina menahan 15 individu terdiri daripada tujuh rakyat Malaysia dan lapan warga China, selepas disyaki memasuki perairan negara itu secara haram.

Memetik laporan Philippines News Agency, Pesuruhjaya Biro Imigresen Filipina Norman Tansingco, melalui kenyataan berkata mereka ditahan pihak berkuasa maritim, tentera Laut dan tentera darat Filipina di kawasan perairan Sitangkai, dekat Tawi-Tawi di Wilayah Selatan negara berkenaan.

Sementara itu, mengulas mengenai konvensyen berkenaan Saifuddin berkata program kerjasama antara Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Sumber Manusia dan kerajaan Sabah itu menggambarkan sinergi strategik antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, dalam usaha menangani isu pemerdagangan orang dan buruh paksa secara lebih berkesan dan bersasar.

“Melalui Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah yang dipengerusikan oleh saya dan ketua menteri Sabah, beberapa perbincangan penting diadakan dalam menangani isu pendatang tanpa izin.

“Antara keputusan yang diambil ialah meneruskan aktiviti pendataan digital warga asing di Sabah, yang merupakan usaha sama antara kerajaan negeri Sabah dan kerajaan persekutuan.

“Inisiatif ini bertujuan untuk menyelesaikan masalah kepelbagaian dokumen identiti serta meningkatkan pengurusan warga asing di Sabah secara lebih berkesan dan sistematik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.