Tingkat modal tarik pelabur, ahli ekonomi beritahu SG4

Tingkat modal tarik pelabur, ahli ekonomi beritahu SG4

Ahmed Razman Abdul Latiff berkata modal itu perlu dipertingkat untuk tambah keyakinan manakala Mohd Nazari Ismail berpandangan tindakan tersebut amalan biasa.

Dr Mahathir Mohamad semalam mengumumkan penubuhan SG4 Group Sdn Bhd untuk berkongsi hasil kekayaan empat negeri ditadbir PAS iaitu Terengganu, Kedah, Kelantan dan Perlis.
PETALING JAYA:
Dua penganalisis ekonomi berbeza pendapat berhubung langkah SG4 Group Sdn Bhd (SG4 Group) membuka syarikat dengan hanya bermodalkan RM2 seperti ditularkan di media sosial.

Sejak semalam tular dokumen laporan maklumat kewangan syarikat dikeluarkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang antaranya mempamerkan modal pembukaan syarikat ditubuhkan untuk berkongsi hasil kekayaan di empat negeri ditadbir PAS iaitu Terengganu, Kedah, Kelantan dan Perlis.

FMT telah menghubungi Pengerusinya Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga menteri besar Terengganu, mengenai kesahihan dokumen itu, namun masih tiada maklum balas.

Soalan sama turut dipanjangkan kepada Menteri Besar Kedah Sanusi Nor, Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli dan Menteri Besar Kelantan Mohd Nassuruddin Daud.

Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School menyarankan syarikat itu meningkatkan modalnya untuk meyakinkan pelabur manakala Mohd Nazari Ismail dari Universiti Malaya (UM) berpandangan amalan itu perkara biasa dan tidak menyalahi undang-undang.

Bercakap kepada FMT, Razman berpendapat langkah meningkatkan modal penting untuk menunjukkan empat negeri terbabit serius dalam menjalankan kerjasama perniagaan dan perdagangan.

“Penting untuk sesebuah syarikat mempunyai modal kukuh apabila ingin menarik pelaburan atau bekerjasama dengan pelbagai pihak,” katanya menjelaskan ia berkait kesungguhan memeterai kerjasama.

Nazari pula berpandangan amalan itu jika benar dilakukan oleh SG4 Group adalah perkara biasa dan tidak menyalahi undang-undang.

“Paling penting ialah aktiviti syarikat, siapa pengarahnya dan penjamin selain kredibiliti ahli lembaga pengarah serta perancangan program akan dilaksanakan,” katanya.

Kelmarin, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang juga penasihat SG4 berkata penubuhan syarikat itu antara lain bagi memajukan Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis secara bersama.

Katanya, ini kerana negeri pembangkang terbabit dilihat tidak mendapat hasil sama dengan negeri lain.

Samsuri berkata, syarikat itu akan menumpukan industri memproses unsur nadir bumi (REE) dan mendakwa beberapa negara seperti China, Korea Selatan serta Jepun menyatakan minat bekerjasama dalam industri berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.