
Menteri Kewangan Sabah Masidi Manjun berkata Kabinet negeri dalam mesyuarat hari ini menegaskan ia belum bersedia menjadi hos bersama temasya sukan serantau itu kerana kemudahan sukannya tidak mencukupi.
“Mesyuarat Kabinet kerajaan Sabah hari ini mengesahkan tidak pernah membuat sebarang komitmen kewangan bagi penganjuran Sukan SEA 2027.
“Kerajaan Sabah juga belum bersedia menjadi ‘co-host’ kerana kemudahan-kemudahan sukan di Sabah masih perlu dipertingkatkan,” katanya dalam catatan X.
Minggu lalu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan Malaysia menerima tawaran menganjurkan Sukan SEA 2027, dengan Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang bersetuju menjadi hos bersama dengan Kuala Lumpur.
Menterinya Hannah Yeoh dilaporkan berkata KBS menolak tawaran beberapa negeri lain untuk menjadi hos bersama temasya itu kerana mereka tidak bersetuju menanggung kos penganjuran temasya sukan dwitahunan itu.
Katanya kos keseluruhan dianggarkan mencecah RM700 juta, berdasarkan kos Sukan SEA 2017 dan Sarawak bersetuju menampung 50% daripada kos itu, manakala Sabah RM100 juta dan Pulau Pinang RM15 juta.
FMT sudah menghubungi Yeoh untuk mendapatkan komen.