Siasatan dalaman bongkar kartel palsu tuntutan, kata Perkeso

Siasatan dalaman bongkar kartel palsu tuntutan, kata Perkeso

Pertubuhan Keselamatan Sosial berkata agensi itu bekerjasama dengan SPRM sejak Julai bagi menumpaskan kartel membawa penahanan 33 individu termasuk tiga doktor.

Perkeso berkata, Bahagian Anti Fraud, Etika dan Integriti melancarkan siasatan dalaman terhadap tuntutan hilang upaya palsu, awal tahun ini.
PETALING JAYA:
Siasatan dalaman dimulakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membawa pembongkaran kartel pemalsuan tuntutan hilang upaya berlaku selama beberapa tahun.

Perkeso berkata, siasatan dalaman itu dilakukan Bahagian Anti Fraud, Etika dan Integriti tahun ini, di mana kartel itu didakwa melakukan tuntutan palsu RM2.1 juta.

Agensi itu kemudian melaporkan kes itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), termasuk memberi kerjasama sejak Julai lalu, bagi menumpaskan kartel tersebut menerusi operasi ‘Op Tunjang’.

“Sehingga kini, SPRM telah menahan 33 individu, termasuk tiga doktor perubatan pada 3 Sept, dengan anggaran kehilangan kesan aktiviti kartel dijangka melebihi RM2 juta.

“Op Tunjang akan diteruskan bersama SPRM dan Kementerian Kesihatan. Kementerian Sumber Manusia dan Perkeso tidak akan berkompromi dan akan terus memerangi aktiviti sedemikian.

“Manfaat perlindungan sosial sepatutnya disalur kepada pencarum dan waris yang benar-benar layak dan memerlukan,” katanya dalam kenyataan.

Perkeso berkata, pihaknya sedang merombak proses tuntutan hilang upaya bagi mengekang lebih banyak kes tuntutan palsu.

Difahamkan, kartel terbabit dikatakan aktif sejak 2017, terlibat pemalsuan tuntutan berkait kecederaan tulang belakang dan kecederaan ‘ligamen anterior cruciate’ (ACL).

Dikatakan, pemohon menerima akan menerima 50% daripada jumlah tuntutan, manakala baki 50% dibahagi antara doktor, ejen, dan ‘runner’.

Dua doktor ditahan disyaki dari dua hospital kerajaan, manakala seorang lagi dari hospital swasta di Seberang Jaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.