
Wan Agyl Wan Hassan berkata, sistem pengoperasian, perundangan dan strategik syarikat penerbangan itu menunjukkan “kelemahan besar” yang memerlukan tindak balas pantas lagi tegas.
“Malaysia Airlines perlu bersikap proaktif bagi membina semula keyakinan dalam kalangan kakitangannya, meningkatkan daya tahan pengoperasian serta melindungi kedudukan strategiknya, bukan sekadar bersifat reaktif.

“Kerajaan juga perlu memikirkan perlindungan lebih teguh untuk syarikat penerbangan negara serta menilai semula peraturan penerbangan,” katanya kepada FMT sambil menambah pucuk pimpinan syarikat itu perlu menjelaskan kesilapan yang menyebabkan penghijrahan bakat.
Beliau berkata, syarikat penerbangan itu perlu menilai punca kakitangannya melihat SIA Engineering Company yang berpangkalan di lapangan terbang Subang, lebih menarik dan seterusnya membaiki sebarang isu berkaitan.
Katanya, syarikat penerbangan itu memerlukan strategi tenaga kerja lengkap, termasuk meningkatkan libat urus pekerja dan menawarkan prospek perkembangan kerjaya jangka panjang, pelan perundangan lebih menyeluruh merangkumi perjanjian dua hala atau peraturan seluruh industri bagi mengekang “pencurian bakat” secara sistematik.
Menurutnya, Malaysia Airlines juga perlu memikirkan semula kedudukan kompetitifnya yang mungkin termasuk menyokong sekatan lebih ketat terhadap pelaburan asing dalam industri utama.
Semalam, syarikat induk Malaysia Airlines, Malaysia Aviation Group mengakui mengalami “kekurangan tenaga kerja mahir kerana pemain tempatan serta antarabangsa baharu dalam bidang penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) memasuki pasaran Malaysia”.
Wan Agyl mempertikaikan keberkesanan pelan pembangunan semula lapangan terbang Subang susulan kehilangan tenaga kerja dalam Malaysia Airlines.
Menurutnya, kehadiran syarikat Singapura itu di Subang mendedahkan kelemahan dengan berpotensi menjejaskan kepentingan penerbangan negara.
Keadaan ini, katanya, mengetengahkan kebimbangan terhadap pelaburan asing yang membawa kepada kehilangan kawalan strategik, ketirisan ekonomi dan konflik dengan sasaran Malaysia membangunkan semula Subang sebagai hab penerbangan utama.
“Malaysia Airlines perlu mengambil pendekatan lebih tegas dan pandang ke depan untuk menyelesaikan masalah ini. Bukan sekadar mengatasi keadaan ini, bahkan memastikan syarikat penerbangan negara itu lebih kuat, berdaya tahan dan sedia bersaing dalam sektor penerbangan global semakin kompetitif.”