Bebaskan kanak-kanak Baitul Mahabbah ke jagaan berasas komuniti, kata aktivis

Bebaskan kanak-kanak Baitul Mahabbah ke jagaan berasas komuniti, kata aktivis

End Detention Network (EDN) berkata pusat yang dikendalikan Kementerian Dalam Negeri itu terus merampas kebebasan kanak-kanak dan membentuk satu lagi k penahanan.

Pada Julai lalu, dilaporkan terdapat 170 kanak-kanak di pusat Baitul Mahabbah di seluruh negara. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Sebuah kumpulan aktivis menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) membebaskan kanak-kanak yang ditempatkan di Baitul Mahabbah (pusat jagaan) dan pusat imigresen lain kepada alternatif berasaskan komuniti.

End Detention Network (EDN) berkata inisiatif sedemikian boleh dilakukan dengan kerjasama daripada organisasi perlindungan kanak-kanak yang mampu menyediakan sokongan pengurusan kes dan hubungan kepada komuniti pelarian.

Ia berkata walaupun terdapat beberapa usaha untuk memperbaiki keadaan, pusat terbabjit terus merampas kebebasan kanak-kanak, dikawal oleh peraturan imigresen yang ketat dan, oleh itu, membentuk satu lagi bentuk penahanan.

“Tiada rancangan keluar alternatif untuk kanak-kanak di Baitul Mahabbah selain penghantaran pulang. Beberapa kanak-kanak pelarian telah tinggal di kemudahan Baitul Mahabbah selama hampir setahun, tanpa rancangan membebaskan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

EDN berkata tiada sebarang penilaian dibuat untuk menentukan sama ada pusat Baitul Mahabbah itu benar-benar memberi manfaat kepada kesejahteraan kanak-kanak, dan jika ia adalah penggunaan sumber yang cekap.

“Malah pada Ogos, menteri dalam negeri menyatakan hasratnya untuk membuka enam pusat Baitul Mahabbah menjelang Disember dan ingin menubuhkan sekurang-kurangnya enam lagi pada 2025,” katanya.

Ia menyeru KDN menubuhkan kumpulan kerja dengan anggota masyarakat sivil utama untuk membangunkan dan mencuba program perintis dalam membebaskan kanak-kanak dari Baitul Mahabbah ke dalam persekitaran komuniti dan untuk menjalankan penilaian bebas ke atas pusat-pusat tersebut.

“Secara global, banyak negara telah mengambil langkah yang perlu ini dan beralih daripada memikirkan kemudahan tahanan ‘mesra kanak-kanak’ atau ‘mesra keluarga’ dan ke arah menamatkan penahanan imigresen kanak-kanak sama sekali.

“Ini adalah standard yang mesti dicontohi Malaysia untuk bersaing dan memimpin dengan rakan serantau dan globalnya,” katanya.

EDN juga menggesa kerjasama antara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan KDN, dalam usaha melindungi hak kanak-kanak di bawah undang-undang tanpa mengira latar belakang dan status imigresen mereka.

Pada Julai lalu, Bernama melaporkan terdapat 170 kanak-kanak di pusat Baitul Mahabbah di seluruh negara.

Hari ini menandakan ulang tahun satu tahun penubuhan pusat-pusat itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.