
YTL Power berkata, projek yang berakhir pada 30 Jun 2019 itu, diperakui Kementerian Pendidikan sebagai siap sepenuhnya pada akhir tempoh kontrak.
“Projek 1BestariNet diberikan kepada YTL Communications pada 2011 oleh Kementerian Pendidikan, susulan tender terbuka melibatkan 19 syarikat yang membida projek berkenaan.
“YTL Communications dipilih kerana ia paling patuh dari segi teknikal selain tawaran paling menjimatkan kos,” katanya dalam kenyataan.
Syarikat itu tidak mengesahkan sama ada pejabat anak syarikatnya digeledah SPRM, sebaliknya berkata badan itu sekadar ‘meminta maklumat daripada YTL Communications’ mengenai 1BestariNet.
Cabang utiliti YTL Corporation Bhd itu menegaskan YTL Communications akan memberi kerjasama penuh dalam siasatan SPRM dan ‘percaya perkara itu akan diselesaikan sewajarnya.’
Terdahulu, sumber memaklumkan SPRM membuat penggeledahan ke atas pejabat kerajaan dan pejabat YTL Communication di Kuala Lumpur hari ini, dalam siasatan ke atas tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet Kementerian Pelajaran Malaysia bernilai RM4 bilion.
Menurut sumber, sejumlah dokumen disita dan SPRM sedang mengkaji bagi mengenal pasti saksi-saksi yang akan dipanggil bagi membantu siasatan.
Katanya, siasatan menjurus kepada mengemukakan dokumen tuntutan yang mengandungi butir matan palsu melibatkan pembayaran lebih kurang RM2.7 bilion.
Fokus siasatan juga menjurus kepada elemen jenayah lain yang tertakluk di bawah Akta SPRM, katanya.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan Hishamuddin Hashim mengesahkan kes disiasat di bawah seksyen 18 Akta SPRM.
1BestariNet dimulakan pada 2011 ketika Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin menjadi menteri pendidikan.
Projek itu yang bertujuan memberi keterhubungan dan platform pembelajaran untuk guru, pelajar serta ibu bapa, sering dikritik kerana perkhidmatan internet yang buruk.
Pada 2019, menteri pendidikan ketika itu Maszlee Malik memutuskan tidak melanjutkan kontrak YTL Communications.
Maszlee berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan beberapa kajian menyeluruh oleh beberapa badan bebas dan profesional termasuk Jawatankuasa
Beliau turut mendakwa Muhyiddin mendesak perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad supaya Maszlee meletak jawatan sebagai menteri pendidikan berkait kontrak YTL Communications itu.