Tuntutan caj air mentah, ‘kita jawab di mahkamah’, Chow beritahu Sanusi

Tuntutan caj air mentah, ‘kita jawab di mahkamah’, Chow beritahu Sanusi

Ketua menteri Pulau Pinang itu berkata, pihaknya akan memberikan respons sewajarnya kepada tindakan Kedah menerusi mahkamah.

chow sanusi
Chow Kon Yeow berkata, pihaknya akan menjawab di mahkamah sekiranya kerajaan Kedah pimpinan Sanusi Nor memanjangkan tuntutan caj air mentah Sungai Muda di mahkamah.
PETALING JAYA:
Pulau Pinang akan menjawab segala tuntutan Kedah berhubung caj air mentah Sungai Muda di mahkamah, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Chow berkata, terdapat pelbagai undang-undang, termasuk konvensyen antarabangsa, yang mengawal penggunaan sumber air antara negeri atau negara.

“Terpulang kepada Kedah untuk ambil tindakan sewajarnya dan kita akan respons dengan sewajarnya,” katanya dalam satu majlis di Georgetown, Pulau Pinang.

“Kalau cuma cakap, kita jawab cakap sahaja, kalau masuk ke mahkamah kita akan jawab dalam mahkamah. Akhirnya, mahkamah perlu memutuskan.”

Semalam, Menteri Besar Kedah Sanusi Nor berkata, pihaknya akan menuntut bayaran caj air mentah Sungai Muda yang diambil Pulau Pinang menerusi mahkamah.

Pada 26 Ogos lepas, kerajaan Pulau Pinang menggesa kerajaan Kedah menuntut bayaran caj air mentah Sungai Muda yang diambil negeri itu menerusi mahkamah, bukan di media atau secara terbuka.

Chow membuat gesaan itu ketika mengulas laporan akhbar bahawa kerajaan Kedah akan terus menuntut bayaran caj air mentah dari Pulau Pinang, yang ketika ini memperoleh 84% sumber airnya dari Sungai Muda.

Exco Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar Kedah Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria dilaporkan berkata, Pulau Pinang masih gagal membuat bayaran kepada Kedah walaupun tuntutan dibuat sejak 2010.

Kedah sebelum ini mengemukakan tuntutan bertulis kepada Pulau Pinang untuk mengenakan caj air mentah sebanyak RM50 juta setahun, berikutan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mendapat bekalan air dari Sungai Ulu Muda yang berpunca dari Kedah.

Bagaimanapun, menurut Chow, penggunaan air oleh Pulau Pinang dari sungai khususnya di kawasan sempadan negeri itu sejajar hak dan undang-undang antarabangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.