
Katanya, beliau sudah bercakap dengan Malaysia Airlines dan dimaklumkan dua syarikat penerbangan itu tidak menggunakan model enjin sama bagi pesawat A350 masing-masing, justeru penerbangan berjalan seperti biasa.
“Mereka ada nyatakan telah memeriksa enjin berkenaan, dan apa yang digunakan di sini berbeza dengan Cathay, walaupun kedua-duanya mengoperasikan A350.
“Mereka telah berhubung dengan Airbus, jadi jika ada sebarang tindakan diperlukan, mereka pastinya akan ambil kira,” katanya.
Semalam, Reuters melaporkan syarikat penerbangan berpangkalan di Hong Kong itu memulakan pemeriksaan ke atas semua pesawat Airbus A350, susulan kegagalan komponen enjin ketika penerbangan.
Menurut Rolls-Royce, pembekal enjin tunggal bagi A350, penerbangan Cathay Pacific CX383 dari Hong Kong ke Zurich telah dipasang kipas turbo Rolls-Royce Trent XWB-97.
Terdapat dua lagi model Trent bagi A350 — XWB-75 dan XWB-84.
Cathay Pacific berkata, pihaknya membatalkan 24 penerbangan pergi balik sehingga Selasa, dan beberapa pesawat tidak akan beroperasi selama beberapa hari dalam proses itu, yang disifatkan sebagai langkah berjalan.
Menurut data Flightradar24, masalah dikesan beberapa minit selepas berlepas ketika penerbangan CX383 mula menuju ke laut, selatan Hong Kong, semalam.
Daripada membelok ke utara untuk perjalanan kira-kira 12 jam ke Zurich, pesawat itu sebaliknya melakukan dua pusingan lebar sebelum kembali ke Hong Kong, di mana ia mendarat dengan selamat kira-kira 75 minit selepas berlepas.