SKMM dalam fasa akhir teliti tender 5G ke-2, kata Fahmi

SKMM dalam fasa akhir teliti tender 5G ke-2, kata Fahmi

Menteri komunikasi berkata pengumuman akan dibuat dalam masa beberapa minggu lagi.

5g
Bulan lalu, dilaporkan empat pengendali rangkaian mudah alih kemuka bidaan masing-masing bagi pembangunan rangkaian 5G kedua. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dalam fasa akhir memuktamadkan penelitian mengenai proses tender rangkaian 5G kedua.

“Kita jangka dalam masa beberapa minggu ini satu pengumuman dapat dibuat mengenai siapa akan terlibat membangunkan rangkaian 5G kedua,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Kempen CIMB Bank Bhd ‘Kita Bagi Jadi’.

Bulan lalu, dilaporkan empat pengendali rangkaian mudah alih (MNO) mengemukakan bidaan masing-masing bagi pembangunan rangkaian 5G kedua.

MNO itu adalah CelcomDigi Bhd, Maxis Bhd, Telekom Malaysia Bhd, dan U Mobile Sdn Bhd.

Fahmi mengulangi syarikat telekomunikasi terbabit bersetuju dengan beberapa prinsip utama sebelum memiliki saham dalam Digital Nasional Berhad (DNB), yang pada asalnya dibentuk sebagai pemborong 5G nasional.

Ia termasuk perkhidmatan diberikan rangkaian kedua tidak seharusnya lebih mahal berbanding apa disediakan DNB.

Pada Mei tahun lalu, Putrajaya bersetuju memperkenalkan rangkaian 5G kedua dalam usaha berganjak kepada model dwirangkaian.

Dalam pada itu, Fahmi berkata pihak kementerian akan menumpukan kepada tambah baik akses internet di sekolah dan institusi pendidikan tinggi bawah Belanjawan 2025.

“Kita mengutamakan sektor telekomunikasi, di mana usaha dibuat bagi memastikan sekolah dan institusi pengajian tinggi mendapat akses internet sebaik mungkin.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.