
Katanya, wakil rakyat itu secara salah mendakwa keluarganya ada kaitan dengan pemimpin Parti Komunis Malaya Chin Peng.
Guan Eng berkata, Mastura berulang kali menyebut namanya – secara keseluruhan tujuh kali – menunjukkan dirinya dijadikan sasaran utama, selain mengaitkan bapanya, Lim Kit Siang dengan bekas perdana menteri Singapura, Lee Kuan Yew.
“Komunis dikutuk dalam politik Malaysia,” katanya pada pendengaran saman fitnah oleh Kit Siang, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, dan dirinya terhadap Mastura.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, kenyataan Mastura membayangkan masyarakat Cina di Malaysia dan Singapura merancang secara berselindung untuk mengawal kedua-dua negara.
Dalam pemeriksaan balas, peguam bela Yusfarizal Yussoff berhujah ucapan Mastura dibuat dalam acara tertutup sayap Wanita PAS di Kemaman, dan tidak dibuka kepada orang awam.
Guan Eng menjawab, ucapan itu seterusnya disiarkan di akaun TikTok, menunjukkan Mastura sudah memberi kebenaran untuk disebarkan.
“Hakikatnya, ia dimuat naik justeru memaparkan hasrat jelas bagi sebaran meluas dan dibenarkan sendiri oleh Mastura,” kata bekas menteri kewangan itu.
Saman itu pada mulanya difailkan secara berasingan oleh Guan Eng, Kit Siang, dan Kok pada November tahun lalu, namun disatukan bagi perbicaraan bersama.
Kit Siang dan Guan Eng memfailkan saman ke atas Mastura terhadap dakwaan mereka mempunyai hubungan saudara dengan Chin Peng dan Lee. Mastura juga mendakwa Kok adalah sepupu kepada isteri Guan Eng, Betty Chew.
Mastura didakwa membuat kenyataan itu dalam ucapannya di Kemaman, Terengganu, pada 4 nov.
Dalam pembelaannya, Ahli Parlimen PAS itu berkata, fakta disebut bersumberkan buku yang dijadikan bahan kempen pada PRU15, diterbitkan Bahagian Komunikasi Barisan Nasional.
Beliau juga mengambil dari sumber sama atas dakwaannya Kit Siang dan Guan Eng mempunyai hubungan saudara dengan Lee, dan Kok adalah sepupu kepada Betty.
Ketika pendengaran hari ini, Guan Eng juga menjelaskan signifikan nama keluarga Cina dan garis keturunan keluarga, selepas diminta berbuat demikian oleh peguam bela.
Katanya, walaupun kebanyakan orang akan tertawa dengan kenyataan mengaitkannya dengan Chin Peng, mereka yang taasub dengan PAS dan berada di kawasan luar bandar berkemungkinan besar mempercayai dakwaan Mastura.
Ketika ditanya sama ada beliau ada membuat laporan polis terhadap buku diterbitkan Bahagian Komunikasi BN, Guan Eng berkata ‘tidak’, memandangkan Mastura sendiri telah menyerahkan buku tersebut kepada polis ketika memberi keterangan.
Beliau juga menyatakan keraguan terhadap kesahihan dokumen seumpama itu, sambil menyuarakan rasa tidak percaya PAS akan menuruti buku yang dikata diterbitkan oleh Umno, namun tidak pernah secara terbuka oleh BN sendiri.
“Fakta adalah suci, pendapat adalah bebas. Namun, fakta dikemuka beliau adalah pembohongan dan sehingga kini, beliau tidak dapat membuktikannya bahawa saya adalah sepupu Chin Peng dan mendiang Lee adalah bapa saudara saya.
“Tidak ada seorang pun pemimpin PAS tampil membelanya untuk menyatakan apa diucapkannya adalah benar,” katanya.
Kit Siang turut hadir memberi keterangan hari ini.
Prosiding di hadapan Hakim Quay Chew Soon bersambung 17 Sept, yang mana Kok, Mastura, dan wartawan Malaysiakini dijadual memberi keterangan.