Polis rakam keterangan ‘Datuk Seri’ berkait kes pemerdagangan manusia

Polis rakam keterangan ‘Datuk Seri’ berkait kes pemerdagangan manusia

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata lima individu juga dipanggil untuk dirakam keterangan.

Mohd Shuhaily Mohd Zain
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata polis juga akan merakam keterangan seorang penulis blog di Indonesia secara dalam talian. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis merakam keterangan seorang individu bergelar ‘Datuk Seri’ berhubung siasatan kes seorang bekas timbalan menteri didakwa terbabit dalam sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, saksi itu dikesan dan dirakam percakapan semalam, selain lima individu.

“Kita juga akan merakam percakapan seorang penulis blog secara dalam talian pada hari ini kerana dia berada di Jakarta, Indonesia,” katanya menurut Sinar Harian.

Sementara itu, Shuhaily juga mengesahkan bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri Mashitah Ibrahim pergi ke Myanmar berkaitan satu pelaburan hartanah di kawasan Myawaddy.

Pada 28 Ogos lalu, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyiasat dakwaan penglibatan seorang ahli politik tempatan dengan kumpulan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

Setiausaha Agungnya Hishamuddin Hashim dilaporkan berkata dakwaan itu susulan tular satu video sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar yang diterbitkan di Indonesia mendakwa seorang ahli politik dan suaminya terlibat aktif dalam sindiket pemerdagangan manusia.

Menurutnya, individu itu dipercayai terbabit dalam sindiket berkenaan sejak 2020.

Susulan dakwaan itu, Mashitah membuat laporan polis dan memberi keterangan di Bukit Aman berhubung tuduhan mengaitkannya terbabit aktiviti sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

Beliau yang menafikan terbabit aktiviti sedemikian menyifatkan maklumat itu ‘dikutip media picisan’ Indonesia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.