
Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan, berkata pandangan semua Ahli Parlimen pembangkang perlu diambil kira terlebih dahulu sebelum keputusan dibuat mengenai syarat ditetapkan dalam draf MoU peruntukan kepada kawasan Parlimen pembangkang itu.
Takiyuddin bagaimanapun berkata beliau tidak dapat menjelaskan secara terperinci mengenai butiran draf MoU itu memandangkan dokumen yang diberikan kepadanya pada 6 Ogos lalu berstatus rahsia.
“Perbincangan ini akan diadakan di Kuala Lumpur pada 9 Sept ini dan sebagaimana saya bayangkan serba sedikit draf yang diberikan kepada kita itu mempunyai unsur-unsur yang mensyaratkan agar Ahli Parlimen PN mengikutinya untuk kerajaan meluluskan peruntukan.
“Saya tidak boleh komen banyak kerana perlu mengambil pandangan semua Ahli Parlimen PN terlebih dahulu dan ia di luar bidang kuasa saya,” katanya kepada pemberita selepas sidang media mengenai Kota Bharu Half Marathon (KBHM).
Beliau yang juga setiausaha agung PAS berkata selepas perbincangan itu, wakil gabungan berkenaan akan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof dan berharap mendapat keputusan kolektif.
Terdahulu, Fadillah berkata langkah kerajaan tidak menyatakan amaun peruntukan dalam draf MoU it disebabkan terma dalam perjanjian masih belum dipersetujui blok pembangkang.
Beliau berkata, jika pembangkang tidak bersetuju dengan mana-mana terma dalam MoU itu, mereka seharusnya menyatakannya melalui saluran betul iaitu perundingan, bukan melalui media.
Semalam, Takiyuddin dilapor berkata kerajaan menetapkan tujuh syarat kepada pembangkang, termasuk sokongan kepada kerajaan sehingga akhir penggal Parlimen ke-15 bagi membolehkan mereka menerima peruntukan, selain turut mendakwa tiada amaun peruntukan diletakkan dalam draf MoU berkenaan.