
Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil, berkata pertemuan itu bagi mendengar pandangan MCCBCHST dan menyatakan pendirian kerajaan.
“Sebaik mungkin isu-isu ini diurus dengan baik tanpa salah faham terutama bila penjelasan telah pun dibuat lebih kurang tiga minggu lalu,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri di Kementerian Komunikasi.
Semalam, MCCBCHST dalam kenyataan membantah cadangan menempatkan pegawai Jakim di jabatan kerajaan yang didakwa berpotensi menjejaskan jaminan Perlembagaan termasuk hak asasi yang dilindungi Perkara 5 hingga 13, yang juga membentuk struktur asas Perlembagaan.
Kenyataan itu dikeluarkan sebagai maklum balas kepada artikel disiarkan Daily Express yang memetik dakwaan Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) David Ong berhubung perkara terbabit.
Bagaimanapun, Na’im menjelaskan tujuan pegawai Jakim ditempatkan hanya untuk mengendalikan program keagamaan.
Sementara itu, menteri komunikasi itu berkata isu penempatan pegawai Jakim di semua jabatan kerajaan telah dijawab Jakim, pada 7 Ogos lalu.
Beliau berkata, bagaimanapun MCCBCHST telah mengeluarkan kenyataan baru, sekali gus menimbulkan salah faham.
“Tidak ada penempatan pegawai Jakim yang baharu, di mana daripada dulu yang ada ditempatkan pegawai Jakim maka itulah kementerian-kementerian yang ada.
“Pegawai-pegawai tersebut dan pegawai-pegawai ini tidak menyentuh soal dasar dalam kementerian yang mereka ditempatkan,” katanya.
Fahmi turut menjelaskan, dakwaan pegawai Jakim itu terlibat dalam isu dasar dalam kementerian ditempatkan terlalu jauh dari sasaran dan matlamat asal penempatan mereka.
Beliau berkata, pegawai Jakim itu ditempatkan di jabatan kerajaan bagi membantu terutama dari segi integriti atau pengisian kerohanian dalam kementerian tersebut.
“Bukan untuk memberi pandangan dalam soal dasar,” katanya.