Pengamal media guna pelan prabayar, pascabayar dapat rebat sempena Bulan Kebangsaan

Pengamal media guna pelan prabayar, pascabayar dapat rebat sempena Bulan Kebangsaan

Jumlah rebat akan diselaraskan oleh syarikat telekomunikasi dan pelaksanaan akan diteliti Kementerian Komunikasi, kata Fahmi Fadzil.

Fahmi Fadzil meminta semua pengamal media memastikan nombor telefon mereka berdaftar dengan Jabatan Penerangan, supaya urusan perolehan rebat dapat diselaraskan. (Gambar EPA Images)
PUTRAJAYA:
Semua pengamal media yang menggunakan pelan pascabayar dan prabayar akan menerima rebat sempena sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pengamal media yang menggunakan pelan prabayar memastikan nombor telefon mereka berdaftar dengan Jabatan Penerangan, supaya urusan perolehan rebat dapat diselaraskan.

“Ada sejumlah pengamal media yang memaklumkan mereka tidak menggunakan pelan pascabayar. Jadi kami telah mendengar, menerima pandangan itu dan saya meminta supaya pihak kementerian berhubung dengan syarikat-syarikat telekomunikasi.

“Maka semua pengamal media tahun ini (sempena Bulan Kebangsaan) akan mendapat rebat, sama ada mereka menggunakan pelan pascabayar ataupun prabayar,” katanya pada sidang media pasca Mesyuarat Jemaah Menteri.

Sebelum ini, media melaporkan Insentif Rebat Rahmah Pengamal Media, iaitu tawaran rebat bil telefon pelan pascabayar kepada pengamal media secara sekali beri, dilaksanakan bagi bayaran bil Ogos tahun ini sempena sambutan Bulan Kebangsaan.

Kementerian Komunikasi dalam kenyataan memaklumkan, insentif yang diperkenalkan tahun lepas itu diteruskan tahun ini, seperti diumumkan Fahmi pada Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (Hawana) Mei lepas.

Fahmi berkata, jumlah rebat akan diselaraskan oleh syarikat telekomunikasi dan pelaksanaan akan diteliti Kementerian Komunikasi.

“Jadi tahun ini, apa yang telah diperoleh dari segi rebat adalah lebih baik berbanding tahun lepas,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.