
Menurut bomba Johor, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pencemaran bau yang berlaku di kawasan Taman Mount Austin, Taman Daya dan Taman Istimewa itu pada 1.30 pagi tadi.
Susulan itu, 19 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau dan BBP Larkin dikerah ke lokasi bersama dua unit ‘fire rescue tender’ (FRT) dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat Tebrau Muhammad Syahhir Ikhwan bin Mohamad berkata, hasil tinjauan di lokasi, bau tersebut disyaki berpunca daripada bahan kimia.
“Bau tersebut masih belum dapat dikenal pasti jenis dan tahap kemerbahayaannya,” katanya dalam kenyataan.
“Pasukan bomba termasuk Hazmat telah membuat pemantauan secara menyeluruh. Bacaan udara menggunakan alat pengesan gas turut dilakukan di lokasi.”
Sementara itu, Berita Harian melaporkan Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor Dr Mohd Famey Yusoff berkata, siasatan sedang dijalankan di lokasi terbabit susulan aduan yang diterima.
Penduduk dilaporkan mengadu bau itu dapat dikesan sejak tengah malam hingga kira-kira 2 pagi, menyebabkan mereka mengalami sakit kepala dan batuk.