
Sampel air dan tanah berkenaan diambil oleh pihak bomba susulan aduan penduduk Taman Daya, Taman Mount Austin dan Taman Istimewa awal hari ini mengenai bau yang dikatakan menyebabkan mereka berasa tidak selesa, selain mengalami sakit kepala dan batuk,
Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Ling Tian Soon berkata, sampel kedua bagi mengetahui kandungan dan jenis bahan kimia berkenaan akan diambil dengan bantuan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Melaka.
Keputusan analisis lanjut akan diketahui hari ini, tambahnya.
“Menerusi siasatan awal, pihak bomba mendapati di sini (Sungai Pandan di Kampung Melayu Pandan) merupakan tempat disyaki pencemaran berlaku berdasarkan bau yang lebih kuat.
“Sampel air dan tanah diambil bagi analisis peringkat awal yang menunjukkan bacaan pH normal, tetapi terdapat satu kandungan bahan kimia yang belum dapat dikenal pasti.
“Justeru, kita sedang menunggu Hazmat Melaka untuk membantu menjalankan siasatan lebih lanjut,” katanya pada sidang media selepas meninjau sungai berkenaan, lapor Bernama.
Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan terhadap kilang-kilang berdekatan sungai terbabit akan dijalankan setelah keputusan sampel kedua diketahui.
Selain bomba, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor juga sedang mengesan dan mendapatkan bacaan pencemaran di kawasan terlibat, katanya.
Terdahulu, penduduk di tiga kawasan perumahan terbabit dilaporkan terancam dengan bau seolah-olah bahan kimia sejak tengah malam tadi.
Susulan aduan penduduk pada 1.30 pagi, bomba menghantar sepasukan anggota dan beberapa jentera ke lokasi kejadian.
Ling berkata, selain kawasan Taman Daya, Taman Mount Austin dan Taman Istimewa, pencemaran bau itu turut melibatkan kawasan Kampung Melayu Pandan.
Sehubungan itu, katanya, sebuah tadika dan sekolah agama di Kampung Melayu Pandan yang terletak berhampiran sungai itu diarahkan tutup sebagai langkah berjaga-jaga.
Ling turut menasihati penduduk supaya memakai pelitup muka dan segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami sebarang gejala.