Kes dagang manusia: Polis semak akaun syarikat beberapa individu

Kes dagang manusia: Polis semak akaun syarikat beberapa individu

Polis juga rakam keterangan lapan individu, termasuk penulis blog dari Indonesia.

razarudin husain
Ketua Polis Negara Razarudin Husain nasihati orang ramai supaya tidak buat spekulasi berkaitan kes pemerdagangan manusia yang didakwa punyai kaitan dengan ahli politik.
KUALA LUMPUR:
Polis merakam keterangan lapan individu termasuk seorang ahli politik dan suaminya berhubung kes pemerdagangan manusia di Myanmar yang didakwa mempunyai kaitan dengan pasangan itu.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata pihaknya turut merekod keterangan penulis blog dari Indonesia hari ini berkaitan penulisan artikel membabitkan kes berkenaan.

Beliau berkata semakan terhadap akaun syarikat beberapa individu yang didakwa terbabit dalam kes berkenaan juga dijalankan.

“Selain ahli politik, suaminya dan penulis blog itu, polis turut mengambil keterangan dua individu daripada sebuah pertubuhan badan bukan kerajaan hari ini bagi membantu siasatan,” katanya.

Polis mengesahkan keberadaan ahli politik itu di Myanmar untuk urusan pelaburan hartanah namun siasatan mengenai pembabitan beliau dalam aktiviti pemerdangan manusia itu masih dijalankan.

Siasatan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran.

Razarudin menasihati orang ramai supaya tidak membuat spekulasi berkaitan isu itu dan memberi ruang kepada polis untuk melengkapkan siasatan.

Pada 28 Ogos lepas media melaporkan seorang ahli politik dipercayai terlibat dengan sindiket pemerdagangan manusia antarabangsa beroperasi di Myanmar disyaki pada awal 2020.

Ahli politik terbabit menafikan pembabitannya dan membuat laporan berhubung perkara itu.

Baru-baru ini tular sebuah video pembongkaran sindiket di Myanmar itu menerusi YouTube yang diterbitkan di Indonesia, memaparkan rakyat negara itu menjadi mangsa pemerdagangan manusia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.