
Presiden Adnan Mat berkata pandangan kakitangan yang boleh diwakili kesatuan sekerja perlu diambil kira, sebelum sesuatu keputusan dilaksanakan kerajaan.
“Cuepacs berharap (dengan penubuhan sekretariat itu) perkara membabitkan kakitangan yang terlibat dalam pelan rasionalisasi tetap diberi keutamaan dan dipertahankan. Cuepacs berharap wakil-wakil kesatuan sekerja atau Cuepacs sendiri terlibat dalam sekretariat tersebut sebagai wakil daripada kumpulan pekerja.
“Sudah tentu langkah penubuhan sekretariat ini penting dalam merasionalisasi perkhidmatan seperti ditekankan dalam agenda reformasi perkhidmatan awam oleh perdana menteri, tetapi penekanan terhadap aspek kebajikan kakitangan sedia ada perlu juga diberikan keutamaan,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika berucap pada perhimpunan Kementerian Kewangan berkata sekretariat tersebut sudah mendapat ‘restu’ Jemaah Menteri dan akan bertugas serta-merta, sejajar pelaksanaan reformasi besar-besaran perkhidmatan awam.
Anwar turut menggesa ketua jabatan serta penjawat awam keseluruhannya berjimat cermat dalam menggunakan dana kerajaan.