
MBSA berkata pihaknya menerusi Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sedang mengambil tindakan.
“Orang ramai diminta berhati-hati ketika beriadah di Tasik Shah Alam Seksyen 7,” katanya di Facebook.
Sejak semalam tular di media sosial kehadiran reptilia itu di tasik berkenaan yang dibimbangi mendatangkan bahaya buat pengunjung dan pemancing ikan.
“Hati-hati kepada kaki pancing di Tasik Seksyen 7, abang buaya Tengah healing (bersantai),” kata seorang pengguna yang turut berkongsikan video seekor buaya di Facebook.
Lima tahun lalu, seekor anak buaya tembaga ditemui berkeliaran di Tasik Shah Alam, Seksyen 14, terletak kurang 5km daripada Tasik Seksyen 7.
Siasatan Perhilitan Selangor mendapati buaya itu dilepaskan individu tidak bertanggungjawab memandangkan tasik itu tidak bersambung atau mempunyai saluran terus ke mana-mana sungai utama dan agak sukar untuk haiwan terbabit memasuki tasik berkenaan sendirian.