Tuntut caj air mentah: Kedah akan bawa ke mahkamah

Tuntut caj air mentah: Kedah akan bawa ke mahkamah

Menteri Besar Kedah Sanusi Nor berkata kerajaan Pulau Pinang minta pihaknya membawa perkara itu ke mahkamah.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow menegaskan penggunaan air oleh Pulau Pinang dari sungai di kawasan sempadan negeri itu sejajar hak dan undang-undang. (Gambar Bernama)
BANGI:
Kerajaan Kedah akan menuntut bayaran caj air mentah Sungai Muda yang diambil Pulau Pinang menerusi mahkamah, kata menteri besarnya, Sanusi Nor.

Beliau berkata kerajaan Pulau Pinang meminta pihaknya membawa perkara itu ke mahkamah.

“Dia kata nak tuntut pembayaran bawa ke mahkamah. Kita akan buat,” katanya pada sidang media sempena persidangan State Government 4 (SG4).

Pada 26 Ogos lalu, kerajaan Pulau Pinang menggesa kerajaan Kedah menuntut bayaran caj air mentah Sungai Muda yang diambil negeri itu menerusi mahkamah, bukan di media atau secara terbuka.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow membuat gesaan itu ketika mengulas laporan akhbar bahawa kerajaan Kedah akan terus menuntut bayaran caj air mentah dari Pulau Pinang, yang ketika ini memperoleh 84% sumber airnya dari Sungai Muda.

Exco Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar Kedah Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria dilapor berkata, Pulau Pinang masih gagal membuat bayaran kepada Kedah walaupun tuntutan dibuat sejak 2010.

Kedah sebelum ini mengemukakan tuntutan bertulis kepada Pulau Pinang untuk mengenakan caj air mentah sebanyak RM50 juta setahun, berikutan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mendapat bekalan air dari Sungai Ulu Muda yang berpunca dari Kedah.

Bagaimanapun, Chow sebelum ini dilapor berkata, penggunaan air oleh Pulau Pinang dari sungai khususnya di kawasan sempadan negeri itu sejajar hak dan undang-undang antarabangsa.

Katanya perkara itu dikawal oleh undang-undang maka pihak yang tidak puas hati boleh ambil tindakan undang-undang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.