
Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin memberitahu Mahkamah Tinggi, Najib dijadikan kambing hitam dalam skandal 1MDB, walaupun bekas pengarah dan kakitangan pengurusan syarikat itu yang melakukan kesalahan.
Berhujah bagi pihak pembelaan pada penutupan kes pendakwaan, beliau mendakwa, beberapa bekas pengarah dan kakitangan pengurusan memberikan keterangan yang memudaratkan Najib untuk mendapatkan imuniti daripada pendakwaan.
“Saman sivil 1MDB yang difailkan terhadap mereka juga ditarik balik,” katanya.
“Mereka tidak boleh datang ke mahkamah dan memperdayakan hakim dengan berkata, mereka tidak mendapat sebarang keuntungan apabila memberikan keterangan.”
Pada perbicaraan itu, dua bekas CEO 1MDB, iaitu Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Hazem Abd Rahman; bekas pengarah Ismee Ismail; bekas pengerusi Bakke Salleh; dan bekas ketua pegawai kewangan Azmi Tahir memberikan keterangan bagi pihak pendakwaan.
Sementara itu, ketua pasukan guaman Najib, Shafee Abdullah memberitahu mahkamah, mahkamah jenayah persekutuan Switzerland minggu lepas mendapati eksekutif PetroSaudi International (PSI) Tarek Obaid dan Patrick Mahony bersalah menyeleweng lebih USD1.8 bilion daripada 1MDB.
Obaid dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun, manakala Mahony akan dipenjarakan enam tahun.
Mahkamah itu turut memerintahkan rampasan dan pengembalian aset mereka, termasuk hartanah dan dana dalam pelbagai akaun bank, berjumlah lebih USD240 juta.
Shafee berkata, mahkamah dalam kes Tarek dan Mahony tidak pernah menyebut Najib terlibat.
“Testimoni dan keterangan yang diberikan bebas, menghapuskan sebarang idea bahawa (Najib) melantik Low Taek Jho (Jho Low) sebagai wakilnya dalam 1MDB dan dalam usaha sama 1MDB dengan PSI,” tambahnya.
Najib didakwa atas 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa berkait dana didakwa milik 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun AmBanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.
Perbicaraan diteruskan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.