
Romzi Ationg berpendapat tidak salah Hadi memasang angan-angan itu namun perlu terlebih dahulu memastikan ideologinya memenuhi cita rasa pengundi di Sabah yang bakal mengundi pada PRN tahun depan.
Sejak ditubuhkan, ideologi PAS cenderung kepada perjuangan Melayu dan Islam yang membantunya menguasai banyak kerusi pada PRU15 dan PRN Ogos tahun lalu.
Menurutnya, PAS mempunyai tugas besar berbuat demikian apatah lagi rekod kurang memberangsangkan pada pilihan raya dan hanya mendapat Adun lantikan melalui Aliakbar Gulasan yang dilantik kerajaan Sabah selepas PRN 2020.
“Ini bergantung kepada ketekunan pimpinan parti itu memastikan imej dan ideologi parti memenuhi cita rasa pengundi di Sabah,” kata ahli akademik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu kepada FMT.
Kelmarin, Hadi membayangkan parti itu akan bertanding pada PRN Sabah, sambil meramalkan masa depannya lebih baik berdasarkan kehadiran ramai anak muda pada konvensyennya.
Ahli Parlimen Marang itu turut mengakui PAS perlu menang di Sabah jika ingin memerintah Putrajaya.
Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pula berkata kenyataan Hadi tidak mengejutkan kerana parti Islam itu berani meletakkan calon bertanding di seluruh negara setiap kali PRU namun tidak yakin dengan kemampuannya untuk menang.
“Hadi kata PAS akan menang tapi berdasarkan rekod sebenarnya susah, kalau dapat tambah undi (tetapi tidak menang dan kurang kekalahan majoriti) pun sebenarnya kejayaan besar,” katanya.
Pendapat Lau itu dipersetujui Bilcher Bala dari UMS yang menyifatkan peluang PAS ‘terlalu sukar’ berdasarkan pecahan pengundi terdiri daripada masyarakat berbilang kaum yang berbeza dengan Semenanjung Malaysia.
“Orang tahu Perikatan Nasional (membabitkan Bersatu dan PAS) adalah perjuangan Melayu dan Islam.
“Bagaimana hendak berbakti kepada kaum bukan Melayu dan bukan Islam di Sabah?” soalnya.
DUN Sabah akan terbubar secara automatik Oktober tahun depan, dengan PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.