SK Nanga Bena rosak akibat banjir perlu dibina semula, kata Nanta

SK Nanga Bena rosak akibat banjir perlu dibina semula, kata Nanta

Menteri kerja raya berkata struktur asal sekolah itu tidak mampu bertahan sekiranya banjir berulang lagi.

Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi (kiri) melawat SK Nanga Bena di Kapit yang rosak teruk akibat banjir pada 22 Ogos lalu. (Gambar Facebook)
KAPIT:
SK Nanga Bena di Sungai Sut perlu dibina semula selepas mengalami kerosakan teruk kerana ditenggelami air akibat banjir baru-baru ini, kata Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi.

Nanta berkata struktur asal binaan sekolah yang dibina pada 1963 itu sudah tidak mampu untuk menampung sekiranya bencana alam berkenaan berulang lagi.

“Kerja baik pulih sahaja tidak cukup untuk menghidupkan semula rumah ilmu buat anak-anak pedalaman di situ.

“Tidak dapat saya bayangkan ketakutan dan kepayahan terpaksa dihadapi oleh pelajar di sekolah rendah ini bersama guru-guru dan kakitangan semasa bah yang datang ketika mereka sedang lena tidur,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, beliau turun padang untuk melihat sendiri kerosakan teruk dialami sekolah berkenaan yang sudah dalam keadaan daif.

Keseluruhan binaan sekolah, asrama dan kuarters yang menempatkan 33 murid dan 14 guru serta kakitangan, itu ditenggelami air dalam kejadian banjir kilat pada awal pagi, 22 Ogos lepas.

Sementara itu, Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit bersama Adun Pelagus Wilson Nyabong Ijang turut menyalurkan bantuan masing-masing RM30,000 dan RM10,000 kepada sekolah untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan serta memenuhi keperluan segera murid dan kakitangan yang terjejas.

Selain itu, Nanta turut meninjau keadaan SK Rantau Panjai yang terkesan akibat banjir dan menyerahkan sumbangan RM5,000 kepada sekolah berkenaan.

Beliau juga berterima kasih kepada semua pasukan yang terlibat dalam menyelamatkan mangsa banjir di kedua-dua lokasi tersebut dan membantu kerja-kerja pembersihan segera.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.