Rampas dadah lebih 6kg, suami isteri ditahan

Rampas dadah lebih 6kg, suami isteri ditahan

Polis turut menyita beberapa kenderaan, barang kemas dan wang tunai milik pasangan itu.

handcuff
Pasangan itu dipercayai aktif mengedar dadah untuk pasaran di Terengganu sejak awal tahun lalu.
KUALA TERENGGANU:
Polis menahan sepasang suami isteri dan merampas dadah pelbagai jenis seberat 6.3kg bernilai RM768,000 dalam satu serbuan di Taman Permint Jaya Fasa 4, semalam.

Ketua Polis Terengganu Mohd Khairi Khairuddin berkata serbuan di rumah suspek itu dibuat kira-kira 1 tengah hari oleh sepasukan anggota dan pegawai polis dari IPD Kuala Terengganu.

“Hasil serbuan ke atas rumah pasangan suami isteri itu polis menemui 5.7kg pil yaba dan 631.9g erimin 5 yang disimpan dalam sebuah bilik.

“Turut disita kereta Volkswagen Golf GTI 2.0, Honda Jazz S, motosikal Yamaha RXZ, dua motosikal Yamaha Y15ZR, motosikal Honda Vario, gelang dan cincin emas serta helmet Shoei J-Force ll dengan nilai keseluruhan RM284,700 dan wang tunai RM79,000,” katanya pada sidang media di IPK Terengganu.

Mengulas lanjut, Khairi berkata suspek lelaki yang berusia 34 tahun dan wanita yang berumur 37 tahun itu dipercayai mula aktif mengedar dadah untuk pasaran negeri ini sejak awal tahun lepas.

Polis menjalankan risikan selama dua bulan bagi mengumpul bukti dan mengenal pasti modus operandi sebelum serbuan dilaksanakan.

“Siasatan mendapati kedua-dua suspek berasal dari negeri ini. Suspek wanita tidak bekerja manakala suspek lelaki mempunyai perniagaan keluarga.

“Pasangan suami isteri itu akan direman tujuh hari bermula hari ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya,” katanya.

Khairi berkata siasatan lanjut terhadap semua harta suspek akan diteruskan untuk dilucut hak bagi melumpuhkan aktiviti pengedaran dadah oleh sindiket tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.