
Menerusi catatan di X, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata TPOXX digunakan dalam rawatan Mpox khususnya kepada mereka yang mengalami jangkitan teruk atau yang mempunyai imuniti lemah.
Beliau juga berkata pemberian vaksin MVA-BN Mpox hanya diberi berdasarkan pemeriksaan dan penilaian pakar perubatan.
“Tiada vaksinasi umum. Vaksin MVA-BN hanya khas kepada kumpulan berisiko tinggi, termasuk petugas kesihatan dan kontak rapat kes yang disahkan,” katanya.
Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata kementeriannya dengan kerjasama Malaysia Airport Holdings Bhd meningkatkan saringan ke atas pengembara yang memasuki negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 sebagai langkah kesiapsiagaan bagi menangani risiko penularan Mpox.
Menurutnya, setiap pengembara yang baru tiba dengan penerbangan antarabangsa akan disaring menggunakan mesin pengimbas suhu.
Penyakit Mpox diisytiharkan sebagai Kecemasan Kesihatan Awam yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa buat kali kedua pada 14 Ogos lalu.
Penyebaran virus clade llb itu bermula pada 2022 dan berterusan hingga hari ini termasuk di beberapa negara Afrika.
Mpox lazimnya merebak antara manusia melalui kontak rapat dengan individu dijangkiti.