‘Bulan ini, bulan pergerakan’, Anwar beri bayangan reformasi lebih besar sektor awam

‘Bulan ini, bulan pergerakan’, Anwar beri bayangan reformasi lebih besar sektor awam

Perdana menteri berkata, langkah itu menyusul reformasi penggabungan agensi dan jabatan yang masih tidak memuaskan.

Anwar Ibrahim berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Puspanitapuri hari ini. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi (kiri) dan Fadillah Yusof (kanan). (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim membayangkan reformasi besar-besaran membabitkan agensi dan jabatan kerajaan akan dilaksanakan bulan ini.

Justeru, katanya, beliau akan berjumpa Ketua Setiausaha Negara (KSN), Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dalam masa terdekat untuk mencari formula bagi memperbaiki prestasi perkhidmatan awam.

Langkah itu, menurutnya, diambil selepas reformasi penggabungan agensi dan jabatan masih di peringkat tidak memuaskan.

“Penggabungan agensi dan jabatan itu belum berlaku dengan memuaskan, pertindihan perjawatan belum ditingkatkan.

“Laporan daripada ketua jabatan, ketua pengarah, ketua unit tentang kecuaian beberapa pegawai, itu pun belum ke tahap memuaskan,” katanya ketika berucap dalam perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri.

“Saudara boleh jangka bulan ini, bulan pergerakan…reformasi yang lebih besar dan saya akan bincang dengan KSN dan KPPA apakah langkah yang perlu diambil untuk perbaiki prestasi yang dianggap sudah baik.”

Sementara itu, Anwar yang juga menteri kewangan meminta semua penjawat awam memberi kerjasama baik kepada Shamsul selaku KSN baharu bagi memastikan reformasi dirancang dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.

Beliau turut menyeru agensi kerajaan menambah baik kaedah atau prosedur menjawab surat aduan awam, yang menurutnya perubahan perlu dilaksanakan bersesuaian tuntutan zaman dan masa.

“Kecepatan kita jawab surat tuntutan masalah rakyat, sama ada boleh atau tidak…beberapa langkah prosedur yang harus mereka patuhi, itu semua harus kita cari kaedah baharu.

“Contoh program di jabatan, yang lama kalau bagus kita teruskan…kalau perlu tambah baik, kita ubah suai tumpuan mengikut keutamaan dan sebagainya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.