
Pengarah JAIPk Harith Fadzilah Abdul Halim berkata siasatan sama ada berlaku pelanggaran perundangan syariah ketika Raja Bomoh dikatakan membantu usaha mencari mangsa insiden tanah jerlus yang belum ditemui, diserahkan kepada pihak berkuasa agama negeri (PBAN) di lokasi kejadian itu berlaku.
“Nanti kita tengok, kita panggil balik insya Allah…Kita akan kemukakan nasihatlah (dalam) hal ni.
“Kalau dia berlaku bukan di tempat (negeri) kita, kita tak inilah (ambil tindakan). Makna, kalau dia (berlaku) di Selangor (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur), maka negeri itu yang akan ambil alih, iaitu berdasarkan kesalahan itu dibuat di negeri mana,” katanya menurut Harian Metro selepas satu program di Ipoh.
Harith Fadzilah ditanya sama ada JAIPk akan memanggil atau menasihati Raja Bomoh, anak jati Perak yang pernah didakwa di Mahkamah Syariah negeri itu atas kesalahan mengadakan ritual atau upacara bercanggah agama Islam dan hukum syarak.
Pada Januari 2022, Ibrahim dilaporkan berjanji kepada JAIPk tidak akan mengulangi perbuatan mengadakan ritual atau sebarang upacara bercanggah agama dan hukum syarak.
Kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India pada 23 Ogos lalu menyebabkan seorang wanita warga India dikenali Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam 8m.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata operasi mencari dan menyelamat dihentikan dan kini memasuki fasa “search and recovery”.
Seramai 194 anggota dan pegawai bomba serta polis, termasuk unit K9 terbabit dalam operasi di sekitar lokasi kejadian serta loji kumbahan di Pantai Dalam. Mereka menggunakan kaedah selaman di enam lurang kumbahan serta loji IWK Pantai Dalam, teknik “flushing”, “jetting”, simulasi tong dan botol, namun semuanya gagal.