Hartanah di KL dijangka susut nilai akibat insiden lubang benam

Hartanah di KL dijangka susut nilai akibat insiden lubang benam

Perunding hartanah Azizul Azli Ahmad berkata insiden lubang benam akan mendorong pembeli lebih berhati-hati dan kurang berminat dengan hartanah di kawasan berisiko tinggi.

kl skyline
Perunding hartanah Azizul Azli Ahmad mencadangkan Jabatan Alam Sekitar serta Jabatan Mineral dan Geosains dilibatkan dalam projek pembangunan di Kuala Lumpur bagi mengurangkan risiko tidak diingini.
PETALING JAYA:
Hartanah di Kuala Lumpur berpotensi mengalami penyusutan nilai selepas beberapa siri kejadian “sinkhole” atau lubang benam, termasuk membabitkan seorang pelancong di Jalan Masjid India, minggu lalu.

Perunding hartanah Azizul Azli Ahmad berkata insiden lubang benam akan mendorong pembeli lebih berhati-hati dan kurang berminat dengan hartanah di kawasan berisiko tinggi.

“Jika terdapat lebihan tawaran hartanah berbanding permintaan, ini boleh menyebabkan penurunan harga dan menjejaskan pelaburan.

“Siapa berani beli di kawasan berisiko ada ‘sinkhole’ di bawah kediaman mereka,” katanya kepada FMT mengulas prospek hartanah di Kuala Lumpur susulan kejadian lubang benam di Jalan Masjid India pada 23 Ogos lalu.

Terdapat beberapa laporan mendakwa ibu negara Malaysia itu terletak di bumbung gua batu kapur dan risiko kejadian lubang benam boleh berlaku bila-bila masa.

Laporan itu turut mendakwa pembangunan tanpa henti, sistem saliran tidak teratur, mendapan tanah atau pasir jerlus dan bebanan melampau akibat kepadatan penduduk dipercayai antara punca bencana berkenaan.

Azizul berkata pemaju mungkin mengambil sikap berhati-hati dengan menangguhkan sementara pembangunan di kawasan sekitar serta tidak mustahil membatalkan projek hartanah baharu bagi mengelakkan risiko kerugian.

Menurutnya bencana seperti lubang benam boleh menimbulkan ketidakpastian dalam pasaran hartanah dan mempengaruhi keyakinan pelabur serta pembeli hartanah di Kuala Lumpur.

Justeru, beliau mencadangkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dilibatkan dalam projek pembangunan di Kuala Lumpur bagi mengurangkan risiko tidak diingini.

“Jika projek di kawasan hutan atau bukit kita perlu dapatkan kelulusan dan kajian dari JAS, sepatutnya pembangunan baharu di KL juga perlu ada badan pemantau supaya kita tahu apa yang berlaku terhadap struktur di bawah tanah.

“Pihak pemerintah perlu menilai kembali keadaan struktur secara geografi dan geologi. Dapatkan bantuan pakar untuk menilai struktur bawah tanah Kuala Lumpur. Apakah ia selamat didiami atau perlu ada penilaian kembali kepada kesan perubahan struktur selepas kejadian itu.”

Azizul turut mengesyorkan pemilik hartanah di sekitar ibu negara menyemak polisi insurans mereka, sama ada ia merangkumi bencana alam seperti lubang benam.

“Jika tiada, tambah perlindungan baharu. Paling penting jangan ambil mudah jika ada sebarang tanda keretakan struktur bangunan. Lapor segera kepada pengurusan jika ada kesan air atau pergerakan tidak normal.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.