Didakwa tipu Agong berkait SD sokong PM, Zahid sedia disiasat

Didakwa tipu Agong berkait SD sokong PM, Zahid sedia disiasat

Zahid Hamidi berkata beliau tiada masalah disiasat pihak berkuasa dan mempunyai bukti kukuh.

ZAHID HAMIDI
Zahid Hamidi berkata mengikut SD ditandatangani Ahli Parlimen BN, kerusi dimenangi bukan hak milik peribadi sebaliknya parti.
KUALA LUMPUR:
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi terbuka untuk disiasat berhubung dakwaan beliau menipu dan mengelirukan Yang di-Pertuan Agong berhubung akuan berkanun (SD) ketika proses pelantikan perdana menteri pasca PRU15.

Mengulas laporan polis dibuat Pemuda Bersatu, Jumaat lalu, pengerusi Barisan Nasional (BN) itu tiada masalah disiasat pihak berkuasa dan yakin mempunyai segala bukti berkait kuasa diberi kepadanya.

“Saya harap pihak berwajib polis atau ROS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia) atau AG (peguam negara) sendiri boleh lakukan siasatan.

“Ini kerana 10 Ahli Parlimen tandatangan SD itu menandatangani dokumen, kuasa membentuk kerajaan itu diberikan kepada pengerusi BN dan kerusi dimenangi bukan hak peribadi sebaliknya hak BN,” katanya selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan myPPP di sini.

Jumaat lalu, Pengerusi Tetap Pemuda Bersatu Akmal Zahin Zainal Zahir membuat laporan polis terhadap Zahid berkait dakwaan beliau mempunyai 30 SD Ahli Parlimen BN untuk menamakan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Beliau menggesa pihak berkuasa menyiasat sekiranya berlakunya penipuan atau cubaan mengelirukan Yang di-Pertuan Agong ketika itu dalam melantik perdana menteri selepas PRU15.

Isu membabitkan SD itu kembali dicetuskan oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin pada kempen PRK Nenggiri, bulan lalu dengan mendakwa dirinya mempunyai 115 SD daripada Ahli Parlimen untuk dilantik perdana menteri.

Namun beliau mendakwa tidak dijemput oleh Yang di-Pertuan Agong selepas PRU15 bagi mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.

Pada 24 Ogos lalu, Muhyiddin didakwa di Mahkamah Sesyen Gua Musang kerana mengeluarkan perkataan menghasut itu dengan pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948.

Zahid sebelum ini menjelaskan presiden Bersatu itu tidak mempunyai sokongan mencukupi kerana ada 10 daripada 115 Ahli Parlimen melakukan tandatangan bertindih membabitkan BN dan PN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.