Kabinet akan bincang cadangan pampasan keluarga mangsa tanah jerlus

Kabinet akan bincang cadangan pampasan keluarga mangsa tanah jerlus

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata perkara itu akan dibawa ke mesyuarat pada Rabu.

Wanita warga India Vijaya Lakshmi berasal dari Andhra Pradesh hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam 8m di Jalan Masjid India pada 23 Ogos.
PUTRAJAYA:
Cadangan pemberian pampasan kepada keluarga wanita warga India yang hilang dalam kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, akan dibawa dan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, berkata perkara itu sudah dirancang dan akan dikemukakan dalam mesyuarat berkenaan.

“Saya ingat nak bawa perkara ini ke mesyuarat Kabinet (untuk dibincangkan)…insya-Allah minggu depan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Floria Diraja Putrajaya 2024.

Floria Diraja Putrajaya 2024 edisi ke-13 yang melabuhkan tirainya merekodkan 800,000 pengunjung sepanjang 11 hari penganjuran.

Semalam, Zaliha berkata kerajaan sedia mempertimbangkan untuk pemberian pampasan selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita berusia 48 tahun itu yang memasuki hari kesembilan dihentikan.

Pada 23 Ogos, seorang wanita dikenali sebagai Vijaya Lakshmi berasal dari Kuppam, Andhra Pradesh, India hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam 8m di Jalan Masjid India.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Maimunah Mohd Sharif, berkata semua permohonan kebenaran merancang pembinaan di ibu kota perlu disertakan dengan laporan geoteknikal disediakan konsultan bertauliah.

“Syarat ini terpakai kepada permohonan yang sudah ada kelulusan tetapi arahan pembangunan belum dikeluarkan, serta permohonan masih dalam proses dan permohonan akan dikemukakan. Langkah ini akan dilaksanakan serta-merta,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.