Batal kontrak jika pembekal gagal hantar Black Hawk bulan depan, kata Khaled

Batal kontrak jika pembekal gagal hantar Black Hawk bulan depan, kata Khaled

Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin berkata perancangan lain akan dibuat selepas kontrak perolehan itu dibatalkan.

Black hawk
Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin berkata pembekal diberi masa sehingga bulan depan untuk menghantar empat helikopter sewaan Black Hawk kepada Tentera Darat Malaysia. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Kementerian Pertahanan akan membatalkan kontrak perolehan pembekal jika gagal menghantar empat helikopter sewaan Black Hawk kepada Tentera Darat Malaysia (TDM) menjelang bulan depan.

“Belum (buat keputusan pembatalan), kita beri masa sampai Oktober untuk penghantaran,” kata Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin menurut Harian Metro selepas perasmian My Villa di Dewan Felda Air Tawar 3, Kota Tinggi.

“Jika tiada penghantaran (helikopter Black Hawk), akan batal (kontrak pembekal). Perancangan lain akan dibuat selepas pembatalan.”

Awal bulan lalu, Khaled dilaporkan berkata, Kementerian Pertahanan sudah mendapat maklum balas Jabatan Peguam Negara berhubung cadangan pembatalan kontrak sewaan helikopter Black Hawk untuk TDM.

Terdahulu, Kementerian Pertahanan dilaporkan akan membuat penilaian menyeluruh ke atas perjanjian pajakan empat helikopter Black Hawk, sebelum menentukan langkah seterusnya sama ada membatalkan kontrak atau memberi masa tambahan kepada pembekal.

Pada Mei 2023, Kementerian Pertahanan menandatangani kontrak sewaan empat helikopter dengan syarikat tempatan, Aerotree Defence and Services Sdn Bhd selama lima tahun bernilai RM187 juta.

Dalam perkembangan lain, Khaled berkata laporan siasatan punca kematian seorang penyelam Ranjau Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ketika operasi salvaj KD Pendekar baru-baru ini dijangka diperoleh dalam masa sebulan.

“Bedah siasat kita sudah buat untuk Allahyarham, tetapi laporan sama ada Allahyarham tersangkut atau bagaimana, kita kena buat siasatan rapi. Dalam tempoh sebulan (dapat laporan).”

Rabu lalu, TLDM mengesahkan Laskar Kelas I PLM Arman San Hermansa meninggal dunia ketika membuat selaman dalam operasi salvaj KD Pendekar di perairan Tanjung Pengelih, Johor dan Lembaga Siasatan Khas ditubuhkan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.