Semangat Hari Kebangsaan, Pearly-Thinaah layak final Terbuka Korea

Semangat Hari Kebangsaan, Pearly-Thinaah layak final Terbuka Korea

Beregu wanita negara itu mengatasi wakil tuan rumah, yang juga gandingan nombor dua dunia, Baek Ha Na-Lee So Hee, pada separuh akhir.

badminton women
Pearly Tan- M Thinaah melangkah ke pentas final Terbuka Korea selepas menumbangkan pilihan pertama kejohanan, Baek Ha Na-Lee So Hee dari Korea Selatan, 21-18, 21-13. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Sambutan Hari Kebangsaan ke-67 lebih bermakna apabila beregu wanita Pearly Tan-M Thinaah mengesahkan kemaraan ke final Terbuka Korea 2024 yang berlangsung di Stadium Tertutup Mokpo, Seoul, hari ini.

Lebih mengagumkan, Pearly-Thinaah melangkah ke pentas final selepas menumbangkan pilihan pertama kejohanan yang juga gandingan nombor dua dunia Baek Ha Na-Lee So Hee dari Korea Selatan 21-18, 21-13 pada aksi separuh akhir yang berlangsung selama 42 minit.

Menanti pasangan negara yang menghuni ranking kesembilan dunia itu di final esok adalah satu lagi wakil tuan rumah, Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong, pilihan keenam selepas menewaskan rakan senegara Lim Yu Lim-Shin Seung Chan, 21-14, 21-11 pada satu lagi aksi separuh akhir.

Kejayaan mara ke final kejohanan berstatus Super 500 itu menyaksikan Pearly-Thinaah yang diletakkan sebagai pilihan keempat berpeluang merangkul gelaran pertama musim ini, selepas terkandas di pusingan suku akhir Terbuka Jepun, minggu lepas.

Terdahulu, pasangan beregu campuran nombor satu negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei melangkah ke final apabila menundukkan pasangan China, Cheng Xing-Zhang Chi, 22-20, 21-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.