
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno berkata beliau tidak perlu berbuat demikian, malah menyokong ia dikekalkan kerana masih penting untuk mencegah politik toksik 3R (kaum, agama dan raja) yang berleluasa.
“Razali Idris selaku ketua penerangan Bersatu membidas saya. Kata beliau ‘Jangan tanya mengapa Muhyiddin tidak hapuskan Akta Hasutan’.
“Menurutnya saya yang sepatutnya mendesak kerajaan hari ini supaya bawa usul untuk hapus Akta Hasutan 1948.
“Saya tidak perlu berbuat demikian. Saya sokong Akta Hasutan kekal. Ia masih perlu. Ia penting untuk cegah politik toksik 3R berleluasa,” katanya di Facebook.
Terdahulu, Razali meminta Puad Zarkashi tidak menyalahkan Presidennya Muhyiddin Yassin berhubung ketiadaan usaha memansuhkan Akta Hasutan sepanjang 17 bulan pentadbirannya, sebaliknya mengalihkan desakan itu kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Sementara itu, Puad berkata meskipun negara sudah mencapai kemerdekaan selama 67 tahun namun masih ada pemimpin politik belum bebas daripada memainkan sentimen 3R.
Beliau memberi contoh isu membabitkan Muhyiddin baru-baru ini yang didakwa menyentuh kewibawaan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.
“Saya menentang kuat ISA. Kerana ia menahan orang tanpa bicara. Umno telah hapuskannya. Tetapi Akta Hasutan ada perbicaraan. Ia tidak zalim.
“Muhyiddin yang dakwa akta itu zalim. Sebab itu saya tanya kenapa tidak hapus semasa dia perdana menteri ke-8. Itu salah Muhyiddin dan Razali,” katanya.
Selasa lalu, Muhyiddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Gua Musang atas tuduhan mengeluarkan perkataan hasutan dalam ceramah ketika kempen PRK Nenggiri
Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948, yang memperuntukkan denda sehingga RM5,000 atau penjara hingga tiga tahun, atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
Pertuduhan itu berkaitan ucapan Muhyiddin yang dibuat semasa berkempen di Felda Perasu, Gua Musang, Kelantan, pada 14 Ogos.