Pesara bank rugi RM1.98 juta angkara ‘Love Scam’

Pesara bank rugi RM1.98 juta angkara ‘Love Scam’

Wanita berusia 64 tahun itu membuat laporan polis petang semalam apabila menjadi mangsa penipuan membabitkan penerimaan satu bungkusan.

Scammer-Hacker
Pengadu diarahkan memasukkan wang menerusi 12 transaksi ke 12 akaun berlainan sejak Mei lepas, kata Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan.
SHAH ALAM:
Polis Selangor mengesahkan menerima laporan berhubung seorang pesara bank mengalami kerugian RM1.98 juta dipercayai terjerat dalam penipuan ‘Love Scam’.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerima laporan pada 4.10 petang semalam daripada wanita berusia 64 tahun itu yang merupakan mangsa penipuan yang berlaku di Bukit Jelutong di sini membabitkan penerimaan satu bungkusan.

“Untuk menebus bungkusan tersebut, wanita tempatan yang merupakan pengadu telah memasukkan wang menerusi 12 transaksi ke 12 akaun berlainan sejak Mei lepas seperti yang diarahkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hussein berkata susulan itu pihaknya membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan secara tidak jujur mendorong supaya harta diserahkan.

Beliau menasihati orang ramai untuk tidak mudah terpedaya dengan penipuan tersebut dan jangan melayan mereka yang tidak dikenali di media sosial.

“Jangan mudah percaya dengan kenalan di media sosial. Semak dahulu sebelum membuat transaksi kewangan serta sahkan nombor telefon serta akaun di https://semakmule.rmp.gov.my,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.