Pengertian berbeza 31 Ogos bukan halangan saling hormati, kata premier Sarawak

Pengertian berbeza 31 Ogos bukan halangan saling hormati, kata premier Sarawak

Abang Johari Openg berkata, pengertian tarikh-tarikh penting negara seperti 31 Ogos dan 16 Sept harus difahami oleh semua rakyat.

Premier Sarawak Abang Johari Openg berterima kasih kepada kerajaan persekutuan yang akur dengan pandangan yang berbeza mengenai tarikh 31 Ogos dan 16 Sept. (Gambar bernama)
SIBU:
Pengertian berbeza terhadap tarikh 31 Ogos antara rakyat di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah, tidak harus menghalang penduduknya untuk saling menghormati, dalam usaha membina Malaysia yang progresif dan utuh.

Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata, perkara yang lebih penting adalah atas semangat ‘Segulai Sejalai’, rakyat Sarawak dan Sabah menghormati tarikh itu sebagai tarikh penting untuk rakyat di Semenanjung dan negara.

Katanya, ia sama seperti menghormati tarikh pembentukan Malaysia, iaitu 16 Sept, yang penting bukan sahaja bagi rakyat Sabah dan Sarawak, malah Malaysia keseluruhannya.

“Pada pandangan saya, tarikh-tarikh ini tidak lagi harus dipolemikkan, tetapi apa yang lebih penting adalah tarikh-tarikh tersebut dihormati dan difahami pengertiannya oleh semua rakyat negara ini, supaya terus dapat memberi tumpuan kepada usaha pembinaan dan pembangunan negara,” katanya.

Beliau mengajak semua pihak untuk terus bergerak ke hadapan, tidak dikongkong oleh sentimen tersebut dan mengabaikan tanggungjawab bersama kepada negara.

Abang Johari berterima kasih kepada kerajaan persekutuan yang akur dengan pandangan yang berbeza mengenai tarikh 31 Ogos dan 16 Sept dan bersetuju supaya 31 Ogos tidak lagi dinamakan sebagai Hari Kemerdekaan tetapi dikenali sebagai Hari Kebangsaan sejak 2015.

“Kalau Semenanjung maju, Sarawak dan Sabah juga maju, saya yakin negara ini akan menjadi lebih kukuh perpaduan rakyat dan wilayahnya,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2024 di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, Universiti Teknologi Sarawak.

Abang Johari yakin, dengan pendekatan yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 2030, Sarawak akan menjadi sebuah negeri yang maju dan progresif, inklusif dari segi sosial dan lestari dari segi pemeliharaan alam sekitar.

Beliau berkata, Anwar Ibrahim dan perdana menteri lain terdahulu prihatin terhadap usaha Sarawak untuk memperoleh hasil yang lebih daripada sumber alamnya, seperti minyak dan gas.

Justeru, katanya, beliau juga yakin kerajaan persekutuan akan terus prihatin terhadap usaha Sarawak untuk menambah hasil negeri melalui inisiatif seperti penyimpanan karbon di luar pantai dengan dasar yang lebih terbuka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.