
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, berkata keputusan berkenaan terpaksa dibuat selepas mempertimbangkan hasil dapatan daripada pasukan SAR.
“Kita diberitahu ada objek… walaupun objek tak menunjukkan dan mengesahkan mangsa tetapi apa pun kita tak boleh teruskan atas sebab-sebab keselamatan anggota yang turun ke bawah cari mangsa, kemungkinan arus deras yang boleh membahayakan anggota kita.
“Selain itu keselamatan kawasan, kita dapat melihat mendapan kedua,” katanya dalam sidang media di lokasi insiden berkenaan hari ini.
Selain itu, Zaliha berkata aktiviti di kawasan berkenaan juga perlu diteruskan tanpa mengetepikan keselamatan umum.
Untuk rekod, SAR telah dilakukan selama sembilan hari sejak mangsa dilaporkan hilang 23 Ogos lalu.
Mengulas lanjut, Zaliha berkata selepas SAR dihentikan, tindakan lanjut di lokasi itu memasuki fasa pemulihan dengan tugas berkenaan diserahkan kepada polis untuk langkah seterusnya.
Pada masa sama katanya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengambil beberapa tindakan termasuk melakukan pemetaan utiliti di lokasi itu, selain melaksanakan kajian struktur tanah seluruh Kuala Lumpur dan libat urus bersama peniaga kawasan terbabit.
“Kita juga minta kepada DBKL untuk melakukan pemulihan dan pembinaan semula (laluan) di kawasan yang terlibat yang sudah dikenal pasti yang jaraknya dari pintu gerbang (Jalan Melayu) sehingga ke Pasar Raya Mydin, lebih kurang 100 meter.
“Pihak DBKL juga menyatakan, sebarang rancangan pembangunan selepas ini memerlukan laporan geoteknikal terlebih dahulu,” katanya.