
Fakta disampaikan ketua pengarah kesihatan ketika itu dinanti ramai, ada kisah menyedihkan apabila banyak kematian direkodkan dan kes meningkat atau bertukar gembira apabila diumumkan penurunan jangkitan sekali gus membawa kelonggaran perintah kawalan pergerakan (PKP).
Bermula kes pertama Covid-19 melanda negara pada Februari 2020, Hisham dan pasukannya cekal bertugas malah hingga 24 jam untuk memastikan Malaysia ‘kembali merdeka’ daripada penularan virus itu.
Tanggal 1 April 2022 menyaksikan pengorbanan dan usaha barisan hadapan termasuk petugas kesihatan menunjukkan hasil apabila Malaysia beralih ke fasa endemik, menyaksikan orang ramai menjalani kehidupan normal termasuk menyambut Hari Kebangsaan setiap 31 Ogos dengan meriah.
Namun, di sebalik pujian ditabur orang ramai, Hisham enggan mendabik dada mengangkat diri sebagai ‘wira’, malah menganggapnya memegang amanah sebagai ketua menjaga benteng kesihatan.
“Inilah amanah diturunkan. Isu dia bukan saya, tapi usaha nak membendung dan kurangkan jangkitan Covid-19 dalam negara,” katanya.
Mengimbau pengalaman kali pertama berdepan Covid-19, Hisham menceritakan saat genting apabila Malaysia mencatatkan kluster pertama daripada perhimpunan di Masjid Seri Petaling pada 12 Mac 2020.
“Kita tidak dimaklumkan sehinggalah kita menerima panggilan daripada rakan sejawat saya di Brunei, mengatakan seorang jemaah yang baru balik dari perhimpunan di sana dikesan positif.”

Tiada pilihan selain ‘lockdown’
Situasi semakin genting apabila jangkitan naik mendadak apabila daripada 500 orang yang disaring, 400 disahkan positif, dengan keadeh pengesanan terhad memaksa pihak Kementerian Kesihatan (KKM) menyarankan satu langkah drastik.
“Kita perlu menggunakan kaedah kesihatan awam untuk menasihati perdana menteri ketika itu (Muhyiddin Yassin) dan juga Kabinet mungkin yang terbaik ialah kita melaksanakan perintah berkurung (lockdown),” katanya.
PKP dilihat membuahkan hasil apabila pada 1 Julai 2020 buat kali pertama Malaysia merekodkan hanya satu kes positif Covid-19 yang bagaimanapun tidak kekal lama susulan jangkitan kembali mendadak selepas PRN Sabah pada September 2020.
Pada awal 2021, Malaysia mencatatkan angka jangkitan harian tertinggi dengan lebih daripada 24,000 kes pada 26 Ogos, manakala jumlah kematian harian tertinggi dicatatkan pada 11 Ogos 2021, dengan 393 nyawa terkorban dalam masa sehari.
“Jangkitan amat tinggi dan kematian juga amat tinggi. Sehinggakan Jabatan Forensik tak ada tempat untuk menyimpan mayat.”

Bekerja 24 jam
Sebagai ketua pengarah, Hisham mengakui tidak ada ruang untuk ‘berhenti’, kerana menguruskan Covid-19 menuntut komitmen sepanjang masa.
“Walaupun kita ada masa di rumah, tetapi libat urus kita untuk menguruskan Covid-19 itu 24 jam,” katanya.
Tidak dinafikan, saat itu fizikal, emosi dan mental benteng barisan hadapan diuji, bagi Hisham ketika itu bimbingan dan sokongan bagi meyakinkan petugas kesihatan amat penting.
“Kalau merekalah benteng pertahanan yang terakhir, kalau barisan hadapan pun dijangkiti dan tak dapat mengawal dan membendung Covid-19 maka negara akan terkesan,” katanya.
Walaupun tidak lagi memegang jawatan ketua pengarah kesihatan, Hisham yang kini pengerusi Kumpulan Kesihatan Universiti UCSI sentiasa terbuka berkongsi dan memberi maklum balas isu berkaitan kesihatan awam.
Beliau bangga melihat bagaimana Malaysia, walaupun melalui pelbagai cabaran akhirnya berjaya mengawal pandemik dengan pendekatan kesihatan awam yang berkesan dan inovatif.
“Sebagai pakar bedah, saya boleh selamatkan satu nyawa pada satu masa. Tapi dalam kesihatan awam, kalau dasar kita betul, kita boleh selamatkan satu negara.”