
Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP Sheikh Umar Bagharib Ali berkata dakwaan itu hanya khabar angin kerana tiada perbincangan rasmi daripada sekretariat kerajaan perpaduan.
“Kena faham sebarang proses untuk tambah anggota dalam kerajaan perpaduan perlu dibincangkan pimpinan.

“Mungkin PAS rasa tak keruan nak duduk dalam kerajaan dan halusinasinya (Hashim) sahaja, mereka berkemungkinan rasa rugi tidak bersama pemerintah yang komited pulih ekonomi rakyat,” katanya kepada FMT.
Baru-baru ini, media melaporkan Hashim berkata ada usaha pihak tertentu mempelawa parti itu bersama kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim, namun menegaskan PAS perlu melihat semua aspek termasuk baik buruknya langkah terbabit.
Beliau juga berkata halangan ketika ini termasuk keengganannya bersekutu dengan DAP walaupun pernah bersama dalam Pakatan Rakyat (PR).
Ketua Pemuda Umno Selangor Imran Tamrin pula melihat kenyataan sedemikian sebagai sandiwara politik PAS yang sememangnya memasang hajat dijemput menyertai kerajaan.

“Apa yang PAS cakap ini naratif dan cakap-cakap politik, kalau betul ada tawaran sudah tentu mereka dah terimalah…ini sandiwara PAS untuk berada di tampuk kuasa.
“PAS mengharapkan dapat tawaran daripada perdana menteri, Umno atau parti dalam kerajaan perpaduan,” katanya.
PAS melalui Perikatan Nasional (PN) pernah dicadangkan membentuk kerajaan perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH) selepas tiada parti mempunyai majoriti pada PRU15.
Namun ditolak sebelum PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan beberapa parti lain bersetuju bergabung membentuk pemerintahan Putrajaya diketuai Anwar.