
Operasi dijalankan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman itu turut menyelamatkan kanak-kanak yang menjadi mangsa eksploitasi buruh.
Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Soffian Santong, berkata operasi di seluruh negara itu dilakukan menerusi dua fasa, di mana 285 warga tempatan dan asing ditahan dalam 42 serbuan fasa pertama Januari lalu.
“Seramai 64 mangsa diselamatkan, terdiri daripada 12 lelaki dan 22 wanita, selain 10 kanak-kanak lelaki serta 20 kanak-kanak perempuan,” katanya menurut Sinar Harian.
Beliau berkata, fasa kedua Jun lalu pula berjaya menyelamatkan 25 lelaki, 26 wanita dan 22 kanak-kanak lelaki, selain 113 warga tempatan dan asing diberkas dalam 33 serbuan.
Menurutnya, warga Myanmar paling ramai diselamatkan, iaitu 35 orang disusuli 25 warga Thailand dan 23 warga Indonesia.
“Selebihnya membabitkan Bangladesh (17), Filipina (9), Malaysia (8), Kemboja, Vietnam dan China masing-masing lima orang, etnik Rohingya (3) serta dua warga Nepal.”
Katanya, operasi secara bersepadu itu yang membabitkan Jabatan Imigresen, Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Alam Sekitar, Tenaga Nasional Berhad dan pihak berkuasa tempatan itu menyasarkan kilang, ladang, sektor perikanan, perkhidmatan serta pengemis.