
Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata, tentera laut ketika ini telah melakukan kerja awalan, termasuk memastikan peralatan di kapal terbabit masih dalam keadaan baik dan kapal itu tidak hilang.
Bagaimanapun, katanya, tentera laut akan melantik pihak swasta bagi kerja mengapungkan dan salvaj.
“Bedah siasat (kapal) masih belum selesai. Punca kematian (penyelam ranjau juga) kita tidak tahu apa-apa lagi kerana belum menerima laporan penuh.
“Kita jangka laporan lengkap mengenai kebocoran KD Pendekar mengambil masa kira-kira sebulan,” katanya pada sidang akhbar di Kem Mahkota Kluang hari ini, lapor Bernama.
Ahad lepas, tentera laut mengesahkan KD Pendekar mengalami kebocoran dan kebanjiran ketika sedang melaksanakan tugasan, dipercayai akibat pelanggaran dengan objek bawah air.
Masalah mula dikesan di bilik jentera kapal sebelum merebak dengan cepat dan tidak terkawal, namun semua 39 kru berjaya diselamatkan selepas usaha mengawal kebocoran serta menstabilkan kapal tidak berjaya.