Tak puas hati dipecat, lelaki rosak Lamborghini bekas majikan

Tak puas hati dipecat, lelaki rosak Lamborghini bekas majikan

Suspek, seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun, ditahan di IPD Ampang Jaya pada Rabu lepas.

gari
Suspek berusia 27 tahun yang ditahan pada Rabu lepas akan direman hingga Ahad, menurut polis.
KUALA LUMPUR:
Seorang lelaki ditahan pada Rabu kerana disyaki merosakkan kereta mewah bekas majikannya setelah dipecat.

Ketua Polis Ampang Jaya Mohd Azam Ismail berkata, pada Selasa lepas, polis menerima aduan daripada seorang pemilik syarikat kawalan keselamatan mendakwa seorang individu dikenalinya merosakkan kereta Lamborghini Urus miliknya.

Beliau berkata, suspek berusia 27 tahun dipercayai melakukan perbuatan khianat itu kerana tidak berpuas hati dipecat oleh pengadu.

Suspek pernah bekerja sebagai pemandu kepada isteri pengadu, tambahnya.

“Kerosakan yang dialami dipercayai kemek di bahagian bonet hadapan dan cermin sisi ditoreh, manakala cermin hadapan dan bumper hadapan pecah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, suspek yang ditahan di pekarangan IPD Ampang Jaya mempunyai rekod lampau pelbagai kes jenayah.

Keputusan ujian saringan air kencingnya didapati negatif dadah.

Suspek direman selama empat hari hingga Ahad dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.