
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan, kerja-kerja ujian tanah dijalankan sekitar Lorong Tuanku Abdul Rahman dan Masjid India bagi mengenal pasti kedudukan serta keselamatan jalan raya di lokasi kejadian tanah jerlus itu.
“Penutupan adalah perlu untuk memastikan keselamatan peniaga dan orang awam terjamin. Kegagalan untuk mematuhi arahan ini akan mengakibatkan tindakan tegas akan diambil ke atas peniaga,” katanya dalam kenyataan.
Menerusi kenyataan berasingan, DBKL memaklumkan, operasi SAR yang masuk hari kelapan diteruskan menggunakan alat ‘Ground Penetrating Radar (GPR)’.
Pencarian turut dilakukan pada sebelah malam, tambahnya.
“Pada masa sama, pihak Indah Water Konsortium membuat kerja membersihkan halangan dalam saluran paip kumbahan menggunakan kaedah jetting dan rodding,” katanya.
Menurut kenyataan itu, keadaan di lokasi pencarian terkawal dan orang awam memberikan kerjasama yang baik dengan tidak memasuki kawasan yang telah dipasang tali keselamatan.
Pada 23 Ogos lepas, wanita berusia 48 tahun dikenali sebagai G Vijaya Lakshmi, 48, dari Andhra Pradesh, India hilang selepas terjatuh ke dalam lubang sedalam 8m susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India semasa melalui jalan itu untuk ke kuil berhampiran.