
Muhyiddin berkata beliau prihatin dengan peningkatan kos sara hidup, terutama ke atas golongan miskin dan berpendapatan rendah.
“Tindakan kerajaan melaksanakan rasionalisasi subsidi diesel banyak memberi kesan berantai kepada kenaikan kos perkhidmatan dan harga barangan keperluan asas yang sangat membebankan kumpulan ini.
“Keadaan ini juga mendorong kenaikan kadar inflasi keseluruhan dan inflasi teras negara kepada 1.9% pada suku kedua 2024 berbanding 1.8% pada separuh pertama,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan kemerdekaan ke-67.
Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, kemerdekaan dalam erti kata sebenar adalah apabila rakyat dapat menjalani kehidupan dengan selamat, bebas mencari rezeki, dan makmur.
Selama ini, katanya, rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang, menjalani kehidupan harmoni dan penuh toleransi kerana memahami asas-asas Perlembagaan yang termaktub sejak negara merdeka.
“Keadaan ini membolehkan usaha-usaha mengisi kemerdekaan dapat dilaksanakan dengan lancar terutama dalam memacu kemajuan ekonomi negara, merapatkan jurang ekonomi antara kaum dan wilayah, dan mewujudkan perpaduan sesama rakyat,” katanya.
Beliau juga mengingatkan semua pihak agar mengenang jasa para pemimpin dan tokoh terdahulu yang memperjuangkan kemerdekaan tanah air.