
“Semua perkara boleh runding,” kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi Mohd Sharkar Shamsudin ringkas, kepada FMT. Sharkar juga speaker DUN Pahang.
Semalam, pengerusi baharu PH Pahang Fuziah Salleh memaklumkan mesyuarat gabungan negeri mencapai kata putus supaya lebih ramai pendukung PH dilibatkan dalam struktur akar umbi kerajaan Pahang.
Menurutnya, ia bagi mengukuhkan kerjasama sebagai persiapan menghadapi PRU16.
PH Pahang katanya turut berpandangan perlu diberikan peranan dan pengiktirafan sewajarnya selari perjanjian persefahaman menubuhkan kerajaan perpaduan di negeri itu pasca PRU15.
Sementara itu, Adun Kerdau Syed Ibrahim Syed Ahmad percaya hal ini dapat diselesaikan dengan baik, memandangkan perbincangan antara kedua-dua pihak ketika mesyuarat kerajaan negeri setiap minggu berjalan lancar.
“Parti-parti kerajaan ini sama-sama mentadbir… ada orang PH, semua ada,” katanya yang juga exco hal ehwal agama Islam, kemajuan desa, dan hal ehwal Orang Asli.
“Kita bincang dalam kerajaan… semua baik dan tiada masalah.”
Fuziah yang juga ketua PKR Pahang dilantik sebagai pengerusi PH negeri berkuat kuasa Isnin lalu menggantikan Naib Presiden PKR Amirudin Shari.
Barisan Nasional (BN) dan PH membentuk kerajaan perpaduan dengan 24 kerusi DUN.
Selain jawatan menteri besar disandang Wan Rosdy Wan Ismail, lapan wakil BN turut dilantik exco Pahang manakala dua lagi dari PH.