Sindiket seludup diesel: SPRM beku akaun bank RM36 juta

Sindiket seludup diesel: SPRM beku akaun bank RM36 juta

Sumber berkata, akaun bank itu milik pengusaha stesen minyak, pengarah dan pegawai agensi penguatkuasaan.

macc
Sumber berkata, setakat ini, tiada penahanan baharu dan rampasan dilakukan SPRM berhubung kes sindiket penyeludupan diesel bersubsidi di Sarawak.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membeku akaun bank pengusaha stesen minyak, pengarah dan pegawai agensi penguatkuasaan berjumlah RM36 juta dalam kes sindiket penyeludupan diesel bersubsidi di Sarawak.

Langkah itu menyusul Op Liter bagi membanteras sindiket penyeludupan diesel bersubsidi yang dipercayai menyeleweng bahan api milik persatuan nelayan serta membayar rasuah kepada penguat kuasa di Sibu Ahad lalu.

Sumber berkata, pembekuan akaun itu menyusul penahanan dua beradik yang juga pengusaha stesen minyak, pembantu penguat kuasa dan pengarah sebuah agensi penguatkuasaan.

“Setakat ini, tiada penahanan baharu dan rampasan lain dilakukan,” katanya menurut Harian Metro sambil memaklumkan pengusaha stesen minyak itu dibebaskan dengan jaminan selepas tempoh reman empat hari tamat.

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Azmi Kamaruzaman mengesahkannya dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009.

Sebelum ini, media melaporkan pengarah sebuah agensi penguatkuasaan di Kuching ditahan Selasa lalu kerana dipercayai menerima suapan sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap kegiatan penyeludupan diesel di Sibu.

Tangkapan itu susulan serbuan Bahagian Operasi Khas SPRM di sebuah depoh simpanan minyak di Sungai Bidut, Sibu Ahad lalu yang menyaksikan lima individu, termasuk dua beradik yang juga pengusaha stesen minyak diberkas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.