Muzium ejen perpaduan, penjaga warisan

Muzium ejen perpaduan, penjaga warisan

Menteri perpaduan negara berkata muzium penting untuk mengeratkan hubungan kaum menerusi penyertaan dalam pelbagai aktiviti warisan seni dan budaya.

Muzium adalah ‘penjaga’ yang mengumpul, memelihara dan melestarikan koleksi sejarah, seni dan budaya serta warisan masyarakat berbilang kaum. (Gambar Facebook)
PUTRAJAYA:
Muzium adalah ejen perpaduan yang perlu diperkasakan dan ia antara agenda utama Kementerian Perpaduan Negara tahun ini, kata Menteri Aaron Ago Dagang.

Justeru, 11 program bawah Citra Nusa@Muzium dirancang tahun ini bagi mengisi agenda itu – Citra Nusa@Melaka, Citra Nusa@Festival Hari Muzium Antarabangsa 2024, Persidangan Antarabangsa Sejarah Kedah Tua berdasarkan Catatan Yi Jing.

Citra Nusa@ Magis Belantara 2024, Museum Unity Trail, Bermalam di Muzium (pelajar dan belia), Citra Nusa@Indonesia, Nostalgia Anak Kampung, Citra Nusa@Muzium Adat, Citra Nusa@Muzium Arkeologi Lembah Bujang dan Citra Nusa@Muzium Kayang.

Ada antara program terbabit sudah dan akan berlangsung.

Aaron berkata, muzium penting untuk mengeratkan perpaduan kaum menerusi penyertaan inklusif dalam pelbagai aktiviti warisan seni dan budaya.

Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang berkata Jabatan Muzium menyimpan pelbagai koleksi bagi tujuan pemeliharaan, penyelidikan dan pendidikan.

“Malaysia kaya dengan budaya dan seni warisan yang dimiliki hasil integrasi kaum sejak zaman-berzaman. Dengan kekayaan dimiliki, program seumpama ini perlu diadakan berterusan dan bersifat inklusif merangkumi segenap lapisan masyarakat.

“Jalinan antara kaum akan rasa kepunyaan bersama terhadap setiap budaya dibawa daripada leluhur masing-masing, menyemai rasa hormat dan kefahaman antara satu sama lain dalam hidup bernegara,” katanya kepada FMT.

Sementara itu, Aaron berkata muzium juga adalah penjaga warisan yang mengumpul, memelihara dan melestarikan koleksi sejarah, seni dan budaya serta warisan masyarakat berbilang kaum.

Ahli Parlimen Kanowit berkata, Jabatan Muzium Malaysia (JMM) menyimpan pelbagai koleksi bagi tujuan pemeliharaan, penyelidikan dan pendidikan mengenai kepelbagaian artifak serta spesimen signifikan dalam negara.

Beliau berkata, sebanyak 437,142 koleksi disimpan di muzium seliaan JMM dengan 322,923 daripadanya bahan arkeologi manakala etnologi (37,360) dan spesimen alam semula jadi (76,858).

Kementerian Perpaduan Negara menyasarkan dua juta mengunjungi muzium tahun ini.

JMM juga menjaga 10 artifak warisan kebangsaan iaitu duit emas zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Shah (1564-1570) Johor, duit kijang emas, duit emas zaman pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Shah I (1527-1564) Johor, dan duit emas zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin II (1793-1808) Terengganu.

Pending Melayu, celepa diraja Terengganu, tepak sireh Sultan Abdul Samad, patung Avalokitesvara, loceng gangsa dan arca Buddha duduk.

“Pada 2023 JMM menerima 2.19 juta pengunjung, melepasi sasaran awal sebanyak 1.7 juta orang. Tahun ini sasaran adalah dua juta pengunjung,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.