Lelaki Rohingya didakwa bunuh isteri, 2 anak

Lelaki Rohingya didakwa bunuh isteri, 2 anak

Bagi satu lagi pertuduhan, Abdu Gapur Doli Ahmad, 43, mengaku bersalah memasukkan amphetamine, methamphetamine dan morfin dalam badannya.

abdu
Majistret tidak menawarkan jaminan bagi kesalahan dadah kerana tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, selain atas faktor warga asing. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki etnik Rohingya didakwa di dua Mahkamah Majistret Alor Setar atas pertuduhan membunuh isteri dan dua anaknya serta kesalahan dadah.

Tetapi, tiada pengakuan direkodkan daripada Abdu Gapur Doli Ahmad, 43, selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor dan Majistret Nur Syifa Mohd Hamzah.

Di depan Majistret Siti Norhidayah, lelaki itu didakwa membunuh Nor Begam Md Yasin, 34, di belakang sebuah bangunan kosong di Lebuhraya Sultan Abdul Halim, Alor Setar antara 11.30 malam 18 Ogos lalu hingga 12.30 tengah malam keesokannya.

Sinar Harian melaporkan Abdu Gapur turut didakwa membunuh anak bongsunya, Abdul Hakim, 23 bulan, di depan sebuah premis di Lorong Tunku Muhammad, Jalan Pegawai di Alor Setar pada 12.45 tengah malam 19 Ogos lalu.

Di depan Majistret Nur Syifa, tertuduh didakwa membunuh anak sulungnya, Lianaata, 10, di lokasi dan masa sama dengan ibunya.

Bagi tiga pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan minimum 12 sebatan.

Bagaimanapun, Abdu Gapur mengaku bersalah memasukkan amphetamine, methamphetamine dan morfin dalam badannya di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kota Setar pada 1.50 pagi 20 Ogos lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya J Banusha dan Pegawai Pendakwa M Kaneson, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak menawarkan jaminan bagi kesalahan dadah kerana dia berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, selain atas faktor warga asing.

Dua majistret menetapkan sebutan semula kes pada 26 Nov ini sementara menunggu serahan dokumen.

Media sebelum ini melaporkan lelaki terbabit ditahan di sebuah masjid di Bukit Pinang selepas mengelar isteri dan dua anaknya di leher menggunakan parang. Seorang lagi anaknya berusia lima tahun tidak cedera dan kini di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.