
“Selama 10 tahun, kami berjuang tidak kira penat menghukum penjenayah ini. Haluan ini sukar, dipenuhi bermacam rintangan, malam tanpa tidur, dan detik mengundang keraguan yang menguji keazaman kami.
“Namun, kami tidak pernah goyah dalam kepercayaan bahawa kebenaran dan keadilan akan menang, tidak kira kuasa penentang.
“Ketika keputusan dibacakan, beban ditanggung bertahun lamanya seakan terangkat, walaupun seketika. Kemenangan ini menjadi suar harapan, bukti walaupun berdepan kesukaran, keadilan boleh dan akan tertegak,” katanya dalam kenyataan dalam profil LinkedIn.
Justo berkata, sabitan berkenaan juga membuktikan tindakan memberi maklumat bukan peristiwa berlaku sekali sahaja, tetapi permulaan perjuangan panjang dan berliku.
“Pertempuran akhir masih berbaki, memandangkan Tarek Obaid ingin mendapatkan akses kepada lebih USD300 juta yang dibekukan di London.
“Saya akan memastikan wang ini menjadi hak milik rakyat Malaysia dan Venezuela, bukannya penjenayah,” katanya.
Semalam, Mahkamah jenayah persekutuan Switzerland mensabitkan warga Switzerland-British Patrick Mahony dan warga warga Swiss-Saudi, Tarek Obaid, kerana menipu 1MDB sebanyak USD1.8 bilion bagi mengayakan diri mereka, dengan Obaid mendapat sekurang-kurangnya USD805 juta dan Mahony sekurang-kurangnya USD37 juta, menurut Reuters.
Obaid dikenakan hukuman penjara tujuh tahun, manakala Mahony dijatuhkan hukuman penjara enam tahun.
Pendakwa raya berkata dua lelaki itu mencipta rancangan penipuan itu bersama ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho, penasihat kepada bekas perdana menteri, Najib Razak, yang sudah dipenjarakan atas peranannya dalam skandal berbilion dolar itu.
Dua lelaki itu pada mulanya mengekstrak USD1 bilion daripada 1MDB supaya ia boleh membeli kepentingan dalam usaha mereka, dan menyusuli usaha sama itu tertuduh mengambil lagi USD830 juta daripada syarikat itu antara 2010 dan 2011, sebagai sebahagian daripada pinjaman Islamik.
Penyiasat Malaysia dan Amerika Syarikat menganggarkan sejumlah USD4.5 bilion disedut daripada 1MDB sejak penubuhannya pada 2009, membabitkan watak seperti Najib, kakitangan Goldman Sachs, dan pegawai peringkat tinggi di tempat lain.